Polis Miri lupus mesin bitcoin bernilai RM5.3 juta

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari (kiri) ketika menyaksikan proses pelupusan mesin bitcoin di IPD Miri.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 16 Julai: Polis Miri pagi tadi melupuskan sebanyak 1,069 buah mesin bitcoin bernilai RM5.3 juta yang membabitkan rampasan sepanjang Februari sehingga April tahun ini di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, mesin bitcoin yang dilupuskan itu merupakan hasil daripada enam serbuan yang dilakukan di premis-premis sekitar bandaraya ini bersama pihak Sarawak Energy Berhad (SEB).

Seramai lapan suspek ditahan semasa serbuan itu dan enam suspek telah berjaya dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri bekalan elektrik dan kesemua mereka telah didenda sehingga RM8,000 dan dipenjara sehingga lapan bulan.


Menurut Hakemal, premis-premis terbabit dikesan mencuri elektrik bagi menjalankan aktiviti melombong mata wang digital.

Katanya, kegiatan dijalankan itu menyebabkan SEB mengalami kerugian kira-kira RM8.4 juta dalam tempoh tiga bulan tersebut.

Selain itu, aktiviti melombong bitcoin dengan mencuri bekalan elektrik yang kerap sepanjang tempoh tahun 2021, menyebabkan tiga buah rumah terbakar akibat penyambungan elektrik secara haram.

Pihak polis turut menasihati operator bitcoin supaya tidak melakukan apa-apa penyambungan wayar secara haram kerana perbuatan tersebut boleh membawa bahaya kepada nyawa dan harta benda.

Hakemal menambah, pihaknya bersama SEB Miri akan mempertingkatkan lagi operasi bagi mengesan perbuatan penyambungan wayar secara haram untuk tujuan aktiviti melombong bitcoin dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap operator yang terlibat. — DayakDaily