KPDNHEP Sarawak ambil tindakan terhadap dua premis perniagaan

Pegawai-pegawai dari KPDNHEP Sarawak dan Unit Pemantauan dan Penguatkuasaan, Bahagian Pengurusan Halal, JAIS mengambil tindakan terhadap sebuah restauran di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 Akta Perihal Dagangan 2011.

KUCHING, 24 Julai: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri telah mengambil tindakan terhadap dua buah premis perniagaan di sini hari ini di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menggunakan logo halal tanpa memiliki sijil halal yang sah.

Menurut kenyataan dari KPDNHEP negeri hari ini, dua premis tersebut ialah sebuah restoran yang terletak di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce manakala sebuah lagi premis melibatkan sebuah kedai menjual ayam yang terletak di Jalan Rubber.

“Pemeriksaan yang dilakukan oleh penguat kuasa KPDNHEP Sarawak dan Unit Pemantauan dan Penguatkuasaan, Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Negeri Sarawak (JAIS) pada 23 Julai, dua buah premis perniagaan tersebut telah diambil tindakan kerana menggunakan logo halal tetapi tidak memiliki sijil halal yang sah daripada Bahagian Pengurusan Halal, JAIS,” kata KPDNEP negeri.


Untuk rekod statistik, bagi 1 Januari sehingga 23 Julai 2020, KPDNHEP Sarawak telah melaksanakan pemeriksaan premis sebanyak 41,430 premis perniagaan meliputi bandar dan luar bandar, menghasilkan keseluruhan 623 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM3,628,172.87 dan jumlah kompaun sebanyak RM188,450.00.

“Manakala sepanjang tempoh Perintah Kawalan Perjalanan (PKP) dari 18 Mac sehingga 23 Julai 2020, KPDNHEP Sarawak merekodkan sebanyak 250 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM1,356,939.69 dan nilai kompaun sebanyak RM64,900.00,” jelas kenyataan tersebut.

KPDNHEP menambah, penggunaan logo halal di premis tanpa sijil halal yang sah adalah menjadi kesalahan di bawah Per. 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 Akta Perihal Dagangan 2011:Kesalahan bagi memperdayakan atau mengelirukan; Mana-mana orang yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa makanan dengan membuat apa-apa representasi atau perbuatan yang boleh memperdayakan atau mengelirukan mana-mana orang bahawa makanan itu adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam adalah melakukan suatu kesalahan.

Penalti bagi mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah Perintah ini boleh, apabila disabitkan, jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM5 juta, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM10 juta; atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, KPDNHEP Sarawak juga menasihatkan semua peniaga makanan dan minuman serta premis menjual ayam dan daging supaya mendapatkan sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau JAIS bagi memastikan jaminan halal dan kualiti makanan yang disediakan di samping meningkatkan keyakinan pengguna.

KPDNHEP dengan kerjasama JAIS akan sentiasa berterusan menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan tegas dari semasa ke semasa untuk kepentingan pengguna-pengguna beragama Islam.

Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline kementerian di 1-800-886-800 atau Portal e-aduan KPDNHEP di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di talian Whatsapp 019-2794317 atau hadir sendiri di mana-mana pejabat Kementerian yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

Bilik Gerakan KPDNHEP Sarawak dibuka sepanjang tempoh PKP ini, dari jam 8.00 pagi sehingga 5.30 petang setiap hari bekerja dan boleh dihubungi di talian 082-466052.-DayakDaily