Kolej Profesional Mara dibina di Kapit

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 4 Dis: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembinaan Kolej Profesional Mara di Kapit dengan kos RM97 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

“Setakat hari ini, bajet untuk projek ini sudah ada. Cuma menanti proses pengambilan tanah sahaja,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kapit hari ini.


Menurut Ismail lagi, kerajaan persekutuan juga telah memperuntukan beberapa projek di Kapit di bawah Bajet 2022.

Katanya, sejumlah RM53 juta diperuntukan untuk membina jalan dari Jalan Bukit Jayong ke simpang Jalan Kakus di Belaga.

Manakala RM40 juta lagi diperuntukan untuk membina pencawang pembahagi utama dan talian di Nanga Merit .

“Melalui Bajet 2022, kerajaan persekutuan memperuntukan RM30 juta untuk projek bekalan air luar bandar di Nanga Mujong.

“Kerajaan persekutuan juga akan membina pusat pendidikan awal kanak-kanak di Rh Chambok di Kapit dengan kos RM4.8 juta,” katanya.

Berhubung projek untuk meningkatkan capaian internet di luar bandar pula, Ismail berkata, kerajaan persekutuan memperuntukan RM4 bilion menerusi Peta Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Ujar beliau, ia melibatkan pembinaan 823 menara baharu, sebanyak 3,012 stesen pemancar dan pembinaan gentian optik di 73,088 premis di seluruh Sarawak.

“Bermakna daripada perancangan ini, tiada sesiapa pun akan ketinggalan dari segi capaian internet.

“Kita sasar pada tahun 2022, tak kira kampung atau kawasan luar bandar akan ada capaian internet,” katanya.

Sementara itu, Ismail yakin bahagian Kapit akan membangun dengan pesat setelah siapnya jalan menghubungkan Sibu ke Kapit.

Beliau juga yakin Kapit dapat menarik lebih ramai pelancong dengan kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan.

“Dahulu masa perjalanan ke Kapit menggunakan bot adalah 3 jam, tetapi dengan siapnya jalan dan jambatan, masa perjalanan ke Sibu ke Kapit 2 jam sahaja.

“Saya percaya pembangunan di Kapit akan lebih cepat, malah pelancong akan lebih ramai tiba,” ujar Ismail. — DayakDaily