KM: Sarawak berhasrat beli vaksin Sinovac, selain Pfizer-BioNtech

Abang Johari pada sidang media di Depot Tahanan Imigresen Semuja.

Oleh Chris Bishop

SERIAN, 22 Mac: Sarawak tidak menolak kemungkinan untuk membeli vaksin Sinovac buatan China selain Pfizer-BioNtech.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, ia adalah usaha kerajaan negeri untuk memberikan suntikan vaksin kepada seluruh rakyat negeri.


“Terdahulu, keputusan kita adalah untuk mengunakan Pfizer. Tetapi sekarang sudah ada Sinovac juga, maka terpulang kepada keputusan Kuala Lumpur mana satu yang boleh .

“Bekalan vaksin yang disediakan oleh kerajaan kita ialah Pfizer, dan sekarang Sinovac pun boleh juga,” katanya dalam sidang media pada lawatan ke Depot Tahanan Imigresen Semuja di sini, hari ini.

Tambah beliau, difahamkan (samada betul atau tidak), kebanyakan rakyat memilih untuk menerima suntikan Sinovac jika dibandingkan dengan Pfizer.

Katanya, ada yang tidak mahu mendaftar sebagai penerima suntikan kerana masih menunggu vaksin Sinovac.

“Jadi kita lihatlah bagaimana maklumbalas rakyat. Kita ada pakar dan keputusan ini bukan dibuat oleh kerajaan negeri.

“Keputusan dibuat oleh para saintis yang diketuai oleh Dr Andrew Kiyu,” ujar Abang Johari.

Pada sidang media yang sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu media bahawa kerajaan sedang meneruskan usaha dan perbincangan untuk mendapatkan vaksin sendiri.

Katanya, kerajaan negeri telah menghantar surat kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengenai hasrat membeli sendiri vaksin Covid-19.

“Kita akan terus berhubung dengan beliau (Khairy) dan beliau juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa negeri boleh membeli sendiri vaksin jika dapat mencari pembekal.

“Kita akan meneruskan perbincangan termasuk dengan pembekal vaksin,” kata Uggah.-DayakDaily