KPDNHEP pantau bekalan telur untuk pastikan ia mencukupi

Azman Adam (file pic)

KUCHING, 22 Mac: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) komited memastikan bekalan telur adalah mencukupi untuk pengguna di seluruh negara.

Menurut Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam, ia susulan tindakan Singapura mengarahkan penarikan semula telur dari pasaran yang dibekalkan oleh syarikat pengeluar di Malaysia berikutan dakwaan penemuan Salmonella Enteritidis (SE) baru-baru ini.

“Susulan situasi tersebut, pegawai-pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP telah menjalankan pemantauan segera terhadap bekalan telur ayam di seluruh negara.


“Tujuannya adalah untuk memastikan bekalan telur tidak terjejas selain melihat sama ada berlaku pembelian panik ke atas bekalan telur daripada jenama yang lain,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Tambah Azman, pegawainya turut memantau proses penarikan balik bekalan telur dengan kerjasama daripada pihak peniaga.

Katanya, tindakan ini selaras dengan kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh pihak pengeluar serta pemain industri bekalan telur yang lain.

“Berdasarkan pemantauan yang dijalankan, didapati aktiviti penarikan semula telur di premis-premis terlibat telah dilaksanakan secara sukarela.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati bekalan telur daripada pembekal yang lain adalah cukup untuk menampung keperluan pengguna buat masa ini,” ujar beliau.

Sementara itu katanya lagi, sekiranya terdapat arahan penarikan balik bagi pasaran telur domestik, KPDNHEP akan mendapatkan kerjasama industri untuk menampung keperluan dan permintaan kawasan-kawasan yang terjejas.

Jelas Azman, untuk rekod, keperluan telur sebulan adalah sebanyak 900 juta biji berbanding pengeluaran telur sebanyak 1,020 juta biji sebulan. — DayakDaily