KM: Rumah berharga antara RM250,000-RM300,000 seunit dalam 6 bulan

Abang Johari (tengah) menekan butang bagi merasmikan pelancaran produk kewangan Islam, Tawarruq Home Financing-i, Tawarruq Term Deposit-i dan Wadiah Savings Account-i yang disediakan Borneo Housing Mortgage Finance Berhad.

KUCHING, Feb 14: Kerajaan negeri mensasarkan memperkenalkan model dan jenama rumah yang khusus bagi pasaran Sarawak yang akan berharga antara RM250,000 sehingga RM300,000 seunit kepada penduduk negeri ini dalam tempoh enam bulan lagi.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata model dan jenama rumah terbabit akan mempunyai keluasan bilik sehingga 1,000 kaki persegi dan mempunyai sekurang-kurangnya tiga bilik dan akan dibangunkan kerajaan negeri dengan kerjasama pihak pemaju perumahan tempatan.

“Ini seterusnya akan membolehkan penduduk negeri ini memiliki rumah kediaman yang lebih baik. Bersamalah saya (mengusahakannya) dan saya (mensasarkan) mahu memperkenalkan model dan jenama rumah ini dalam tempoh enam bulan lagi,” katanya ketika merasmikan pelancaran produk kewangan Islam, Tawarruq Home Financing-i, Tawarruq Term Deposit-i dan Wadiah Savings Account-i yang disediakan Borneo Housing Mortgage Finance Berhad, di sini, semalam.


Abang Johari berkata ini kerana Sarawak tidak boleh terus bergantung kepada model rumah sedia ada di Kuala Lumpur yang tidak memenuhi kehendak, citarasa dan kemampuan pembeli rumah di negeri ini.

“Saya juga mahu melihat harga pasaran rumah di negeri ini kembali dalam jangkauan kemampuan pembeli rumah tempatan kerana kami mendapati harga rumah ketika ini yang terlalu tinggi,” katanya.

Menurutnya, di negeri ini ada seunit rumah jenis Teres Semi-D sehingga mencecah harga RM600,000 di lokasi tertentu manakala di lokasi yang utama harga seunit sehingga mencecah RM1 juta dan inilah yang menyebabkan ramai penduduk negeri ini sukar memiliki rumah berkualiti.

“Sehubungan itu saya ada strategi dimana kita mempunyai model dan jenama rumah sendiri dan kerajaan negeri berkerjasama dengan pemaju perumahan tempatan menyediakan rumah terbabit berharga antara RM250,000 sehingga RM300,000 (seunit) yang masih mampu dibeli orang ramai,” katanya.

Katanya dalam strategi terbabit kerajaan juga akan menyediakan lebih banyak rumah kos rendah yang seterusnya akan membolehkan harga rumah di negeri ini dapat dikawal harganya sekitar RM250,000 hingga RM300,000 seunit.

Abang Johari sehubungan itu menjelaskan kerajaan negeri sedang menumpukan kepada menambaihbaik sistem pengangkutan awam negeri ini kerana sistem pengangkutan yang baik akan membolehkan lebih banyak kawasan perumahan baru dibuka di seluruh negeri ini.

“Kita mahu kawasan perumahan baru terbabit juga berhampiran pengangkutan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang akan dibina supaya orang ramai dari kawasan perumahan itu dapat sampai ke pusat bandar dalam tempoh 30 minit sahaja mengunakan pengangkutan itu,” katanya.

Disamping itu beliau berharap Borneo Housing Mortgage Finance Berhad dapat menyediakan produk pembiayaian kewangan bagi membolehkan penduduk tempatan membeli rumah model dan jenama Sarawak terbabit di kawasan perumahan baru yang akan dibuka.

Abang Johari berkata Borneo Housing Mortgage Finance Berhad setakat ini sudah membantu 40,000 keluarga di Sarawak dan Sabah memiliki rumah dengan menyediakan produk pembiayaian pembelian rumah kepada kakitangan awam negeri, pekerja badan berkanun, pihak berkuasa tempatan, syarikat berkaitan kerajaan dan agensi kerajaan serta orang awam. — DayakDaily