SFC sita 341 kayu balak haram dan tiga jentera bernilai RM500,000

Kayu-kayu balak yang berjaya dirampas di Ulu Sungai Awik, Saratok.

SARATOK, Feb 14: Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya menyita 341 batang kayu balak haram serta tiga buah jentera berat dianggarkan bernilai RM500,000 menerusi satu serbuan di Ulu Sungai Awik di sini.

Jurucakap SFC berkata, operasi bersepadu yang dilakukan itu berjaya menemui longgokan kayu balak haram tersebut kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua kayu daripada jenis belian dan kapur tersebut tidak mempunyai cop pengesahan daripada pihak berkuasa.


“Anggota penguatkuasa SFC kemudian merampas kayu-kayu balak serta tiga jentera berat yang digunakan untuk aktiviti pembalakan haram di situ,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jurucakap sama menambah, ketika serbuan itu, seorang penyelia warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Saratok untuk tindakan lanjut,” katanya lagi. — DayakDaily