KKR kemuka cadangan tangani harga besi kepada MoF

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 6 Okt: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengemukakan cadangan untuk mewujudkan semula peruntukan pengiraan klausa perubahan harga bagi menangani kenaikan harga besi.

Menterinya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, cadangan itu dikemukakan kepada Kementerian Kewangan Malaysia (MoF).

“Justeru itu, MoF telah menguatkuasakan Pekeliling Baharu Pelaksanaan Syarat Perubahan Harga di dalam kontrak kerja pada 15 Julai 2021.


“Pekeliling ini berkuatkuasa mulai 1 Jan 2021 sehingga 31 Dis 2021 meliputi kerja bangunan, kejuruteraan awam dan mekanikal dan elektrikal,” katanya pada sidang Parlimen hari ini.

Menurut Fadillah, berdasarkan input pihak industri, faktor kenaikan harga besi yang dapat dikenalpasti adalah kesukaran mendapatkan bahan mentah bagi memproses besi tetulang iaitu bijih besi.

“Harga bijih besi meningkat di seluruh dunia disebabkan kekurangan bekalan bijih besi kerana kebanyakan lombong bijih besi tidak dapat beroperasi dengan kapasiti penuh, kesan dari bencana alam dan isu pandemik.

“Isu logistik yang menyumbang kepada kesukaran dan kelewatan penghantaran bagi bahan import disebabkan situasi pandemik,” katanya.

Ujar Fadillah, pemulihan terhadap permintaan bijih besi menyebabkan harga bijih besi naik dan secara tidak langsung telah mengakibatkan kenaikan harga jualan produk lama yang telah sediada.

KKR melalui CIDB Malaysia jelas Fadillah sentiasa melaksanakan pemantauan harga bulanan dan menerbitkannya melalui Portal National Construction Cost Centre.

“Harga bahan binaan ini dikumpulkan melalui kerjasama dengan beberapa persatuan berkaitan pembinaan dan diperolehi daripada kontraktor.

“Aktiviti pemantauan ini telah dilaksanakan semenjak tahun 2002,” kata Fadillah. ā€”DayakDaily