KKM salur peruntukkan RM16.88 juta kepada HUS, Hospital Sibu beli peralatan perubatan tambahan

Datuk Seri Dr Adham Baba (kanan) ketika sidang media mingguan Jawatankuasa Khas Bekalan Vaksin bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan, Khairy Jamaludin Abu Bakar (kiri).

KUCHING, 28 April: Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan sebanyak RM16.88 juta ringgit kepada dua hospital di Sarawak bagi membeli peralatan perubatan tambahan untuk kegunaan di hospital terbabit.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia bagi menambah kesiapsiagaan kedua hospital terbabit dalam berhadapan dengan krisis kesihatan awam termasuk peningkatan penularan Covid-19 di wilayah berkenaan.

“KKM telah memperuntukam sebanyak RM7.1 juta kepada Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi perolehan tambahan peralatan perubatan termasuk 22 ventilator, 16 ‘patient monitor’, 15 ultrasound dan 14 PAPR.


“Bagi Hospital Sibu pula, peruntukan sebanyak 9.18 juta telah diberikan bagi pembelian alat iaitu tambahan 13 katil ICUmeliputi alatan seperti 13 ventilator, 13 patient monitor, lima ‘High Flow Nasal Cannula’, tiga ‘syringe pump’, 21 ‘infusion pump’, dua ‘non-invasive vantilator’, dua kelengkapan hemodialisis dan dua ultrasound,” katanya pada sidang media mingguan Jawatankuasa Khas Bekalan Vaksin di Putrajaya hari ini.

Dr Adham dalam pada itu turut memaklumkan selain perolehan tambahan tersebut, Hospital Sibu turut menerima lima ventilator yang disumbangkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Ujarnya, ketika ini keperluan untuk sumber lain bagi hospital di Sarawak termasuk bekalan Oksigen dan peralatan perlindungan diri (PPE) adalah mencukupi.

Katanya, KKM sentiasa memantau akan situasi semasa keperluan sumber-sumber tersebut dan akan sentiasa melakukan simpanan stok bagi mengelakan bekalan sumber berkenaan terputus.

Dr Adham berkata, ketika ini sebanyak 30 daripada 206 buah ventilator yang terdapat di hospital di Seluruh Sarawak sedang digunakan bagi merawat pesakit yang dijangkiti wabak Covid-19 dengan penggunaan berada pada tahap 15 peratus.

Jelas beliau, terdapat lapan buah hospital yang bersedia merawat pesakit Covid-19 di Sarawak dengan jumlah keseluruhan sebanyak 914 buah katil dengan purata penggunaan sebanyak 68 peratus.

“Terdapat 38 buah PKRC dan tiga buah PKRC Tahanan yang sedang beroperasi secara aktif dengan kapasiti katil sebanyak 6,523 dan kadar penggunaan PKRC ini adalah 56 peratus.

“Oleh itu jumlah katil rawatan bagi Covid-19 di hospitak dan PKRC di Sarawak 7,347 dengan kadar penggunaan 58 peratus ketika ini,” katanya.

Tambah Dr Adham, 80 daripada 155 katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital yang bersedia merawat pesakit Covid-19 di Sarawak dikhususkan bagi merawat pesakit berkenaan.

Katanya, ketika ini penggunaan bagi katil-katik terbabit kini melebihi 70 peratus.

Pada sidang media sama, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan Khairy Jamaludi Abu Bakar memberitahu beliau sudah memberikan jaminanya kepada kerajaan Sarawak dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) supaya program iminusasi di negeri itu dapat di selesaikan selewat-lewatnya bulan Ogos nanti.

“Saya telah memberi jaminan kepada kerajaan Sarawak bahawa kita akan selesaikan vaksinasi di Sarawak selewat-lewatnya pada bulan Ogos tahun ini,” katanya. — DayakDaily