Dr Adham: ‘Walk-in’ untuk vaksin Dos 1 di Sarawak berakhir pada 6 Sept 2021

Datuk Seri Dr Adham Baba

Oleh Nur Ashikin Louis

KUCHING, 3 Sept: Pemberian dos pertama vaksin secara ‘walk-in’ di Sarawak akan berakhir pada Isnin hadapan (6 September).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata keputusan terbabit telah dibuat dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) yang dipengerusikan bersama dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin baru-baru ini.


“Inisiatif ‘walk-in’ di setiap negeri akan dikemaskini dari semasa ke semasa. Orang ramai boleh membuat semakan di Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing untuk maklumat lanjut.

“Bagi negeri Sarawak, ‘walk-in’ perlu merujuk kepada maklumat terkini dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang berdekatan. ‘Walk-in’ bagi pemberian dos pertama akan berakhir pada 6 September, 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Adham turut memberitahu bahawa beliau telah menyarankan agar sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan vaksin yang diagihkan ke negeri-negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri diperuntukkan kepada Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN).

“Ini selari dengan perbincangan di sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini untuk memperhebatkan lagi usaha pemvaksinan pekerja warga negara atau bukan warga negara sama ada di PPVIN statik atau secara jangkauan luar,” katanya lagi. — DayakDaily