Keutamaan kepada Taman Negara Gua Niah peroleh pengikthirafan Unesco

Awang Tengah (dua kiri) menekan tetikus bersama Len (kiri) sebagai simbolik perasmian laman sesawang baharu Jabatan Hutan Sarawak.

KUCHING, 11 Dis:  Kerajaan Sarawak mahu keutamaan diberikan kepada Taman Negara Gua Niah untuk dicalonkan sebagai tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) selepas Taman Negara Mulu, di Miri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, usaha sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pembanguan Bandar Dan Sumber Asli untuk membolehkan taman negara tersebut mendapat pengiktirafan dapada badan dunia itu.

Katanya, ketika ini hanya Taman Negara Mulu sahaja yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco pada 2000 yang lalu.


“Kita akan buat secara berperingkat kerana negara yang menguruskan pencalonan ini mempunyai jumlah had negara yang mendapat pengikthirafan itu setiap tahun.

“Oleh yang demikian kita kini tengah berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan bagi memberikan keutamaan kepada Taman Negara Gua Niah,” katanya  pada sidang media selepas majlis perasmian ibu pejabat baharu Jabatan Hutan Sarawak di bangunan Baitulmakmur II di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Muda Pembangunan Bandar Dan Sumber Asli Datu Len Talif Salleh berkata, setiap negara hanya dibenarkan untuk mencalonkan satu tapak warisan sahaja daripada jumlah yang terdapat di negara terbabit untuk memperoleh pengikthirafan Unesco.

Justeru, kata beliau, Taman Negara Gua Niah perlu bersaing dengan tapak warisan yang lain di negara ini untuk membolehkan ia mendapat pengisytiharan sebagai tapak warisan dunia oleh Unesco.

“Yang unik berkenaan Taman Negara Gua Niah ini ialah ianya mempunyai nilai sejarah, alam semula jadi yang berusia jutaan tahun serta nilai kebudayaan dan ini pastinya boleh menjadi faktor yang memberi kan nilai tambah untuk Taman Negara Gua Niah ini dicalonkan kepada Unesco,” katanya. — DayakDaily