Kes penipuan e-dagang meningkat mendadak, waspada pembelian dalam talian

Ahsmon menunjukkan gambar-gambar individu yang dikehendaki polis.

KUCHING, 12 Ogos: Sebanyak 61 kes penipuan e-dagang dilaporkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk tempoh Januari hingga Jun tahun ini membabitkan kerugian mencecah RM403,386.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kes meningkat secara mendadak disebabkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membuatkan orang ramai beralih kaedah pembelian secara dalam talian.

Katanya, antara aplikasi e-dagang yang merekodkan kes adalah seperti Mudah.com, carousell, Lazada, Shopee, Facebook, WeChat dan Instagram.


“Bagi Kuching, jumlah keseluruhan kes penipuan yang dilaporkan pada 2019 adalah sebanyak enam kes dengan kerugian dicatatkan sebanyak RM237,280.

“Sepanjang 2020 pula, kes meningkat kepada 12 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM88,542.

“Pada tahun ini (Januari hingga Jun), kes meningkat secara mendadak, di mana sebanyak 61 kes dilaporkan dengan kerugian dicatatkan sebanyak RM403,386,” katanya dalam satu sidang media di IPD Kuching, hari ini.

Jelasnya juga, seramai 79 orang menjadi mangsa kes penipuan ini untuk sejak 2019 yang berusia 19 hingga 57 tahun.

Selain itu, Ahsmon turut memberitahu, polis sudah mengenalpasti 18 individu yang terdiri daripada 16 lelaki dan dua wanita, berusia antara 25 hingga 63 tahun untuk membantu siasatan.

“Mereka adalah antara suspek-suspek yang terlibat dalam penipuan e-dagang ini dan usaha memburu mereka giat dijalankan,” tegasnya.

Maklumat mengenai identiti 18 suspek terbabit boleh dilihat di laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.

Ahsmon turut menasihatkan orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu akaun bank penerima di laman sesawang ccid.rmp.gov.my sebelum membuat apa-apa bayaran,” katanya.

Beliau juga menyeru orang ramai agar menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Scam Response Centre di talian 03-26101559 untuk sebarang pertanyaan.

“Untuk sebarang pertanyaan atau boleh menghubungi kita di takian 03-26101559,” katanya. — DayakDaily