Kerosakan jalan akibat banjir akan dibaiki — Fadillah

Datuk Seri Fadillah Yusof

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, Feb 10: Kementerian Kerja Raya memberi jaminan kontraktor projek Lebuh Raya Pan Borneo akan membaik pulih kerosakan yang berlaku pada laluan tersebut bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya dengan kerjasama kerajaan negeri akan memantau kerja-kerja membaiki kerosakan teruk jalan negeri ekoran bencana banjir yang melanda baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini tiada kerosakan besar dilaporkan berlaku melibatkan laluan Lebuh Raya Pan Borneo dan jalan persekutuan.


“Tetapi, berdasarkan laporan diterima, kita dapati banyak jalan negeri terjejas akibat banjir,” katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fadillah memberitahu,pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak kini sedang berjalan lancar.

Jelasnya, keseluruhan pembinaan projek tersebut adalah memuaskan.

“Kesemua pakej kerja pembangunan laluan itu masih dalam jadual sasaran,” katanya lagi. — DayakDaily