Tiada kerosakan teruk pada Lebuhraya Pan Borneo disebabkan cuaca buruk, banjir

Fadillah (tengah) bergurau dengan ahli PBB selepas mengadakan sidamg media di Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-14.

KUCHING, Feb 11: Kementerian Kerja Raya belum ada mengesan sebarang kerosakan teruk berlaku pada Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan disebabkan hujan lebat dan kejadian banjir yang telah kerap melanda negeri ini baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata setakat ini cuaca hujan lebat tersebut hanya melambatkan kerja pembinaan lebuhraya itu yang sedang dilakukan kontraktornya tetapi tiada sebarang kerosakan yang besar.

“Saya gembira apabila telah dimaklumkan bagi kejadian (hujan lebat dan bencana banjir) ini telah tiada sebarang (kerosakan) utama terhadap Lebuhraya Pan Borneo di negeri ini,” katanya ketika mengadakan sidang media di Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sejingkat di sini, semalam.


Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan (Bumiputera) PBB berkata, sebelum ini, hujan lebat hanya menyebabkan jentera berat tidak boleh digunakan kontraktor kerana tanah menjadi lembap dan licin serta berisiko dilalui jentera terbabit terutama di kawasan tanah tinggi.

“Manakala di kawasan tanah rendah di negeri ini, kebiasaanya tanah gambut dan hujan lebat menyebabkan tanah ini menjadi lembut dan jentera berat boleh tengelam di tanah ini,” katanya.

Fadillah berkata sekiranya ada kerosakkan kecil pada Lebuhraya Pan Borneo, sudah termatub dalam perjanjian projek terbabit yang kontraktor perlu memikul tanggungjawab membaikpulih semula kerosakan lebuhraya itu.

Bagaimanapun sekiranya kerosakan terbabit adalah besar dan utama disebabkan faktor yang diluar kawalan seperti cuaca buruk barulah kementerian itu akan menimbangkan memberikan kontraktor lebuhraya itu peruntukan tambahan bagi membaiki kerosakan terbabit.

“Tetapi banyak jalan negeri yang telah rosak disebabkan cuaca buruk yang melanda negeri ini; jadi saya sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi cuba mendapatkan sejumlah peruntukan dari kerajaan pusat bagi membaiki jalan terbabit,”katanya.

Disamping itu, beliau menafikan Jalan Menjawah-Belaga yang rosak teruk adalah sebahagian Lebuhraya Pan Borneo tetapi jalan terbabit dibina tentera dibawah Projek Jiwa Murni dan jalan tersebut yang asalnya jalan balak ditambah baik dibawah projek itu bagi boleh dilalui kenderaan dan dirancang dinaiktaraf dari masa ke semasa. — DayakDaily