Serian akan melancarkan program sekolah angkat untuk meningkatkan kefasihan Bahasa Inggeris

Datuk Seri Michael Manyin Jawong

KUCHING, Feb 10: Program sekolah angkat bagi meningkatkan kefasihan pelajar sekolah bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik akan dilancarkan di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bahagian Serian pada bulan depan.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangkakan akan merasmi program tersebut di Bahagian Serian yang merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengoh, Tarat, Kedup, Tebedu dan Bukit Semuja.

“Kita telah mengeluarkan satu surat pekeliling pada tahun lepas untuk wakil rakyat termasuk dari pembangkang memilih satu atau semua sekolah di kawasan DUN mereka dijadikan sekolah angkat bagi menambahbaik Bahasa Inggeris pelajarnya sekiranya pihak sekolah, guru dan ibu bapa bersetuju,” katanya ketika mengadakan sidang media di Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sejingkat di sini, hari ini.


Manyin yang juga Naib Presiden Kanan (Pesaka) PBB berkata sekolah angkat terbabit akan menjadi pusat bagi pelajar berlatih bertutur Bahasa Inggeris dengan mereka hanya boleh bertutur bahasa berkenaan sebaik memasuki perkarangan sekolah.

“Ini kita sudah amalkan di dua sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai dan SK Ba’Kelalan dan murid-muridnya amat fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris walaupun mereka masih belajar di sekolah rendah di pendalaman,” katanya.

Beliau berkata setakat ini hanya sekolah di kawasan DUN kawasan Bau sudah melancarkan program itu pada tahun lepas yang juga memerlukan papan tanda di sekolah terbabit mengunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.

“Kita juga sudah meminta Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak mengeluarkan surat pekeliling kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan seterusnya semua sekolah di negeri ini supaya mengalakkan guru besar dan pengetua mengunakan Bahasa Inggeris ketika perhimpunan,” kata beliau yang turut gembira kerana setakat ini banyak sekolah telah mematuhi surat pekeliling itu. ā€” DayakDaily