Kerajaan sementara wujud mulai 2 Ogos – PKR Sarawak

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, 1 Ogos: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak berpandangan bahawa Kerajaan yang wujud mulai 2 Ogos ini adalah Kerajaan sementara.

Menurut Ketua Penerangannya Abun Sui Anyit, kerajaan sementara itu hanya mempunyai kuasa terhad dan tidak boleh memperkenalkan polisi-polisi baharu.

“Berdasarkan Proklamasi Darurat Sarawak tersebut, wakil rakyat negeri Sarawak tamat mandat mereka sebagai wakil rakyat mulai 2 Ogos ini.

“Mereka tidak lagi bergelar Yang Berhormat dan seterusnya gaji dan elaun mereka sebagai wakil rakyat juga terhenti serta merta.

“Apapun, Proklamasi Darurat Sarawak ini masih perlu dibentangkan di Parlimen berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Sarawak di seluruh negeri itu mulai 2 Ogos ini sehingga 2 Februari tahun depan.

Ini sekali gus menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Dalam kenyataan itu, Abun berkata pilihanraya masih boleh diadakan lebih awal tertakluk kepada keadaan pandemik Covid-19 dan perkenan Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Oleh itu katanya, PKR berharap pilihanraya diadakan dengan segera apabila keadaan Covid-19 di Sarawak sudah pulih.

Jika pilihanraya diadakan lebih awal sebelum tarikh 2 Ogos dan dalam keadaan norma baru di mana SOP tertentu yang baru perlu diperkenalkan.

“PKR berharap Kerajaan sementara Sarawak memanggil semua pihak berkaitan termasuk wakil parti-parti politik yang layak bertanding dalam PRN Sarawak untuk bersama-sama membincangkan SOP yang bakal dikuatkuasakan semasa pilihan raya nanti,” ujar beliau. — DayakDaily