Kerajaan Sarawak iktiraf, pertahan tanah NCR rakyat yang sahih ikut perundangan

Awang Tengah (empat dari kiri) pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri di Miri pada 20 Sept 2021. Foto: Ukas

KUCHING, 21 Sept: Kerajaan Sarawak mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas tanah hak adat Bumiputera (NCR) mereka jika tuntutan tersebut adalah sahih mengikut perundangan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, setakat ini sebanyak 46,346 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 55,970 hektar atau 138,305 ekar.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II menegaskan semua telah dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.


“Selagi kerajaan, kita kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), kita akan terus mempertahankan hak dan kepentingan rakyat termasuk hal lebih-lebih lagi soal tanah NCR jika tuntutan tersebut adalah sahih mengikut perundangan.

“Bagi kes-kes yang masih dalam pertikaian dan perbicaraan di mahkamah, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan kecualilah kes tersebut telah pun diselesaikan atau ditarik balik oleh mereka yang terlibat.

“Namun begitu, sekiranya mahu menyertai Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu ini semula, permohonan baharu perlulah dikemukakan,” katanya semasa Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri di Miri semalam.

Dalam majlis tersebut, sebanyak sebanyak 270 surat hak milik diserahkan melibatkan 183 penerima dengan keluasan tanah seluas 227.3 hektar.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, dari tahun 2010 hingga kini Jabatan Tanah dan Survei Sarawak telah berjaya menyukat secara perimeter seluas lebih kurang 999,853 hektar atau 2.47juta ekar.

Tambahnya, daripada jumlah tersebut seluas 776,226 hektar atau 1.9 juta ekar telah pun diwartakan.

“Bukan sahaja tanah NCR, banyak orang cakap hal ‘pulau galau’ dan sebagainya tetapi mahkamah telah buat keputusan penuntut terbabit tidak ada hak terhadap tanah; ‘pulau galau’ ini untuk kemudahan kemudahan domestik untuk membuat rumah, buat perahu, berburu dan mencari hasil hutan. Tetapi tidak ada hak terhadap tanah dan ini adalah keputusan mahkamah.

“Namun, kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, beliau mahu membantu rakyat, maka Kerajaan meminda Kanun Tanah Negeri baru-baru ini dengan memberi kuasa perundangan kepada ‘Native Territorial Domain’ (NTD) untuk memastikan semua tanah yang mempunyai hak adat Bumiputera dan tanah-tanah yang terlibat dengan ‘usufructuary right’ (hak mengguna pakai) diiktiraf.

“Ini memberi peluang kepada masyarakat Bumiputera, kalau mereka memenuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan dalam NTD ini, mereka akan diberi perhatian dan pertimbangan,” katanya. — DayakDaily