Kerajaan pusat diminta meluaskan jalan Bintulu-SIP kepada empat laluan

Dato Sri Tiong King Sing

Oleh Peter Sibon

KUCHING, 21 Julai: Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing hari ini meminta kerajaan pusat untuk meluaskan jalan raya dari bandar Bintulu ke Taman Perindustrian Samalaju (SIP) daripada dua haluan kepada empat.

Jelas beliau, ini penting kerana SIP kini pesat membangun dan ramai pengguna dari Samalaju yang menggunakan kenderaan berat sebagai pengangkutan.


“SIP telah membentuk salah satu dari lima teras pembangunan di bawah inisiatif Sarawak Corridor of Renewable Energy (Score). SIP terletak kira-kira 61km timur utara Bintulu melalui jalan raya selari jalan pesisir Suai-Bakam.

“Sekarang, keadaan jalan hanya dilengkapi dengan dua laluan sahaja iaitu satu naik dan satu lagi turun, menjadikan laluan tersebut terlalu sempit dan juga tidak sekata. Ia amat berbahaya kerana terlalu banyak kenderaan berat menggunakan laluan tersebut.

“Justeru, saya harap Kementerian Kerja Raya boleh pertimbangkan untuk meluaskan jalan tersebut kepada empat laluan, iaitu dua laluan bagi setiap hala serta memberi kelulusan untuk pembinaan ‘railway lane’ (jalan keretapi) yang menyediakan perkhidmatan kargo dan mungkin juga kabin untuk penumpang yang mampu untuk mengurangkan kehadiran kenderaan berat di atas jalan raya,” kata Tiong ketika membahas Perbahasan Titah Diraja di Parliamen hari ini.

Menyentuh isu berkaitan, Tiong berharap agar Kementerian Kerja Raya dapat menambahbaik keselamatan Lebuhraya Pan Borneo yang ketika ini masih dalam pembinaan.

“Sehingga kini, isu keselamatan di atas jalan raya tersebut amat teruk dan membimbangkan. Jalan di sana bukan sahaja berlubang di sana sini, malah tanah lumpur melimpah ke jalan apabila hujan akibat kerja-kerja.

“Banyak pengguna jalan raya yang melalui jalan itu mengalami kemalangan dan pecah tayar, rim akibat jalan berlubang, tidak rata dan berlumpur. Kontraktor ini masih gagal mematuhi Prosedur Operasi ‘Standard’ (SOP) yang ditetapkan. Banyak kali saya persoalkan berkaitan isu keselamatan ini,” jelas beliau.

Justeru, Tiong berharap agar Menteri Kerja Raya melihat secara serius perkara tersebut dan meminta agar kontraktor-kontraktor Lebuhraya Pan Borneo turut sama untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Sementara itu, Tiong yang juga merangkap Duta Khas Perdana Menteri Ke Republik Negara China berharap pihap berkuasa akan memantau kehadiran nelayan-nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

“Isu yang terakhir saya ingin menyentuh ialah berkaitan pencerobohan kapal Vietnam di perairan Sarawak dan disyaki berkait dengan salah laku dan salah guna kuasa anggota penguatkuasaan APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia). Kapal nelayan Vietnam boleh senang-senang menceroboh perairan negara kita tanpa sebarang halangan dari agensi penguatkuasa kita.

“Alasan yang mereka berikan ialah APMM tidak mempunyai dana yang secukupnya untuk mengisi minyak kapal penguatkuasa dan justeru, kita tidak dapat menghalau penceroboh ini. Ini alasan yang sangat tidak munasabah,” tegas Tiong. — DayakDaily