Hayati sejarah Sarawak dalam pembentukan Malaysia, kata Sng

PKR Sarawak mengucapkan Selamat Hari Sarawak.

KUCHING, 22 Julai: Parti Keadilan Rakyat Sarawak berharap rakyat negeri ini menghayati sejarah Sarawak semasa penubuhan Malaysia pada tahun 1963.

Pengerusinya Larry Sng berkata, ketika itu Sarawak adalah sebuah wilayah bersama Tanah Melayu, Sabah dan Singapura menubuhkan Malaysia.

“Dengan semangat cintakan Sarawak sebagai tanah tumpah darah kita, diharap rakyat Sarawak akan menghayati sejarah Sarawak.


“Marilah kita sebagai sama-sama menjaga dan memelihara Sarawak yang kaya dengan hasil semulajadi demi kepentingan rakyatnya,” kata Sng menerusi satu kenyataan sempena ulang tahun Hari Sarawak hari ini.

Beliau juga mengajak seluruh rakyat untuk terus memelihara keharmonian kaum untuk membawa Sarawak lebih maju pada masa depan.

Pada sambutan kali ini, Sng yang juga MP Julau menegaskan pentingnya amalan norma baharu di mana setiap rakyat digalak memakai pelitup muka di khalayak ramai. — DayakDaily