“Kerajaan persekutuan perlu iktiraf gelaran serta martabat Premier”

Safiee Ahmad (file pic)

KUCHING, 15 Feb: ADUN Daro Safiee Ahmad mengingatkan supaya kerajaan persekutuan perlu mengiktiraf gelaran serta martabat ‘Premier’.

Selain itu, katanya, kerajaan persekutuan juga harus memastikan setiap majlis-majlis rasmi dan mesyuarat-mesyuarat rasmi di peringkat persekutuan memberi keutamaan tinggi berkaitan protokol.

Tegas Safiee, Premier Sarawak adalah lebih tinggi kedudukannya daripada Ketua-Ketua Menteri atau Menteri-Menteri Besar yang lain.


“Cadangan untuk meminda Perkara 6(3)(a) untuk menukar gelaran ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Premier’ merupakan satu langkah mengangkat martabat Sarawak.

“Sarawak adalah satu daripada empat komponen pembentukan Malaysia selain Sabah, Singapura dan Tanah Melayu sehinggalah Singapura mengambil keputusan menarik diri pada Ogos 1965.

“Pindaan ini bersesuaian selaras dengan status Sarawak berbeza dengan negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Tambah Safiee, ini mengambil contoh konsep yang digunapakai oleh negara-negara Komanwel seperti Australia dan Canada di mana ketua persekutuan digelar sebagai ‘Prime Minister’ manakala yang mengetuai wilayah menganggotai persekutuan digelar sebagai ‘Premier’ dan mana-mana ketua negeri lain digelar sebagai ketua menteri.

“Pindaan Rang Undang-Undang ini dilihat bersesuaian demi mengangkat semangat asal pihak-pihak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mana telah dikembalikan semula setelah pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“lanya amatlah penting untuk mengekalkan status Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63,” kata Safiee.

Berhubung penggubalan kedua Rang Undang-Undang pada Perkara 7A untuk menukar gelaran ‘Menteri Muda’ kepada ‘Timbalan Menteri’, Safiee berkata ia bagi membolehkan mereka menghadiri mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atas jemputan oleh Premier.

Katanya, ini membuktikan bahawa Kerajaan Sarawak mengiktiraf dan ingin mengangkat martabat Sarawak berbanding dengan negeri-negeri dalam Malaysia yang lain.

“Kita kena faham bahawa posisi Sarawak sekarang bukanlah sama seperti negeri-negeri lain dalam Malaysia dan pentadbirannya.

“Kita sebagal rakan kongsi sama rata berhak mempunyai pola pentadbiran dan pengurusan yang tersendiri dan eksklusif,” ujar beliau.

Safiee menyifatkan pindaan ini bukan sahaja memastikan keistimewaan Sarawak terjaga dan terbela malah merupakan satu kejayaan besar usaha muri Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Pindaan Rang Undang-Undang ini menjadikan kehormatan dan status Wilayah Sarawak jelas terpapar sebagai sebuah entiti dan komponen penting dalam pembentukan Malaysia,” katanya. — DayakDaily