Kerajaan Persekutuan disaran kembalikan peruntukan kerja pengukuran tanah NCR

Gambar Ali ketika berbahas yang di paparkan skrin besar di Parlimen, yang diperolehi dari laman Facebook “Ali Biju P205 Saratok”.

KUCHING, Nov 16: Kerajaan Persekutuan telah disarankan untuk memberi peruntukan bagi kerja pengukuran tanah hak adat (NCR) di Sarawak tahun hadapan.

Ahli Parliman Saratok Ali Biju, menyarankan supaya peruntukan itu hanya untuk program pengukuran tanah individu di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri .

“Saya meminta Kerajaan Persekutuan menyediakan sejumlah dana tetapi untuk program pengukuran tanah individu di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak,” katanya ketika membahaskan Bajet 2019 di Parlimen semalam.


Ali berkata sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan kerajaan pada tahun 2018 bagi kerja pengukuran tanah NCR tetapi tiada peruntukan sebegitu di dalam Bajet 2019.

Beliau berkata hasil Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 di bawah “Tonggak 3: Menuju Ke Arah Pembangunan Wilayah Yang Seimbang”, Point 55, menyatakan aktiviti pengukuran tanah dan pemetaan tanah NCR akan dilaksanakan bagi membolehkan tanah adat dibangunkan.

Selain itu, Ali juga menyeru pihak pendakwaraya dan polis membuka semula kertas siasatan terhadap pembunuhan Bill Kayong, seorang pejuang tanah adat itu yang mati dibunuh kejam dengan beberapa das tembakan dilepaskan dari jarak dekat di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya di Jalan Miri-Kuala Baram, pada 21 Jun, 2016.

“Saya menyeru supaya pihak pendakwaraya dan polis membuka semula kertas siasatan kes ini untuk memastikan keluarga mendiang mendapat keadilan yang sebenar dengan membawa dalangnya ke muka pengadilan,” katanya.

Menurutnya, pada 10 Ogos yang lalu, Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang tertuduh, namun beliau berpendapat sampai sekarang dalang pembunuhan terbabit masih belum mendapat keadilan yang setimpal.

Ali berkata selagi dalang disebalik kes itu masih bebas selagi itulah keluarga mendiang masih belum mendapat keadilan yang sebenar. — DayakDaily