Pembantu penguatkuasa wanita lesap RM112,000 akibat terpedaya sindiket ‘Macau Scam’

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 16: Seorang pembantu penguatkuasa wanita terpaksa berputih mata apabila dia lesap RM112,000 akibat terpedaya dengan sindiket ‘Macau Scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata kejadian tersebut dilaporkan berlaku antara 10-12 Nov lepas.

Berdasarkan laporan diterima, mangsa telah menerima panggilan telefon telefon kononnya dari Pos Malaysia, Kuala Lumpur, pada 10 Nov lalu.

Katanya, suspek kemudian memberitahu mangsa terdapat dokumen pos segera untuk mangsa dan suspek bertanya kepada mangsa sama ada dia ada menerima dokumen tersebut.

“Mangsa kemudian memberitahu suspek yang dikenali sebagai Albert Wong bahawa dia tiada menerima dokumen berkenaan disebabkan berada di Kuching dan bukannya berada di Terengganu.

“Selepas itu Albert Wong minta mangsa mengesahkan nama penuh dan kad pengenalannya sebelum memberitahu mangsa ada mohon kad kredit di Public Bank Terengganu pada 16 Julai lepas dan diluluskan oleh pihak bank pada 23 Julai lalu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mustafa menambah, pada 31 Julai lalu mangsa dikatakan telah membeli seunit telefon bimbit jenis Iphone X harga RM4,568 menggunakan kad kredit nombor 4553583677896588 melalui lazada.com.my.

Katanya, kemudian panggilan telefon telah disambungkan ke talian terus ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk membuat laporan polis.

“Kemudian mangsa bercakap dengan lelaki kononnya pegawai penyiasat Sarjan Chong dan mangsa diberitahu terlibat dalam satu kes cuci wang haram dan jual dadah lebih kurang enam kilogram dan nombor kes (004598).

“Selepas itu, suspek sekali lagi memberitahu mangsa telah terlibat dalam satu kes jenayah bersama Tan Wee Lung dan dia arahkan mangsa pergi ke IPK Terengganu dan mangsa mohon supaya kes dibuat siasatan dulu dari pihak polis untuk mendapatkan kebenaran pihak berkaitan dia tidak melakukan kes berkenaan,” jelasnya lagi.

Seterusnya kata Mustafa, mangsa merayu kepada suspek supaya dirinya tidak ditangkap kerana bimbang imej dan kerjayanya akan terjejas.

Tambahnya, suspek kemudian mengarahkan mangsa memasukkan wang ke dalam dua akaun iaitu berjumlah RM24,000 ke akaun CIMB Bank atas Abdul Raziq Roslan.

Ujar Mustafa, mangsa turut memasukkan wang sebanyak RM4,000 ke akaun yang sama di BSN Satok dan memasukkan wang berjumlah RM60,000 ke akaun CIMB Bank Abdul Raziq Roslan serta wang berjumlah RM28,000 ke akaun CIMB Bank atas nama Wong Chee Kheong.

“Setelah wang dimasukkan ke akaun-akaun berkenaan, suspek telah mengatakan kes mangsa sudah selesai dan mangsa didapati bersih dalam kes terbabit.

“Mangsa juga diberitahu bahawa wang berjumlah RM112,000 itu akan dikembalikan dan akan dimasukkan ke dalam akaun Maybank mangsa pada 16 Nov (hari ini). Mangsa yang berasa tertipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily