Pelajar asrama ‘tidur atas lantai’, tiada almari – peruntukan RM500,000 diperlukan segera

Gambar Ali ketika membahaskan Bajet 2019 di Parlimen, yang telah dimuatnaik dalam laman Facebook “Ali Biju P205 Saratok”.

KUCHING, Nov 15: Kementerian Pendidikan digesa untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi membeli katil dan almari untuk pelajar asrama SMK Saratok dan SMK Kalaka sebelum bermulanya sesi persekolahan 2019.

Ahli Parliman Saratok Ali Biju membuat permohonan itu kerana keadaan asrama sekolah terbabit dianggap teruk, sehingga pelajar terpaksa tidur atas pelantar kayu yang disusun di atas lantai dan bukannya atas katil.

Tambah pula, ramai pelajar tiada almari untuk menyimpan pakaian dan barang peribadi.


“Saya meminta jasa baik Kementerian Pendidikan untuk memperuntukkan ‘emergency fund’ sebanyak RM500 ribu untuk membeli almari dan katil yang baru untuk kegunaan pelajar asrama SMK Saratok dan SMK Kalaka sebelum permulaan sesi persekolahan 2019,” menurut beliau ketika membahaskan Bajet 2019 di Parlimen, semalam (Nov 15).

Ali berkata beliau telah melihat sendiri keadaan asrama dua sekolah terbabit dan berpendapat ianya bukan persekitaran yang sesuai sebagai tempat tinggal pelajar, lebih lagi sekiranya mereka terpaksa tidur beramai-ramai atas pelantar kayu.

Disamping itu, beliau juga menyeru kementerian bertindak dengan kadar segera untuk memberi kebenaran supaya sekolah di negeri ini dilakukan kerja penyambungan elektrik ke talian grid elektrik utama.

“Saya difahamkan kerajaan negeri Sarawak sudah menulis surat untuk mendapat kebenaran itu kerana ianya tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan,” katanya.

Namun sehingga kini, kerajaan negeri masih belum mendapat maklumbalas mengenai perkara itu.

Semasa perbentangan Bajet 2019 Sarawak yang dibentang Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan bagi sekolah berdekatan talian grid elektrik di Sarawak dilakukan kerja penyambungan supaya sekolah tidak bergantung kepada bekalan elektrik dari janakuasa diesel yang mahal belanjanya.

Selain itu, Ali juga meminta kerajaan persekutuan menimbangkan cadangan kerajaan negeri Sarawak bagi meminjamkan dana sejumlah RM1 bilion dalam bentuk “soft loan” kepada kerajaan persekutuan untuk membiayai kerja membaik pulih sekolah daif di negeri ini.

“Sarawak masih ada 904 sekolah lagi yang masih perlu dibina semula atau dibaikpulih. Di dalam Bajet 2019 (kerajaan persekutuan) hanya RM100 juta diperuntukkan untuk membaik-pulih sekolah di seluruh negara,” katanya dan khuatir jumlah terbabit amatlah tidak mencukupi. — DayakDaily