PRU15: PN kuasai Saratok, Ali menang majoriti 8,826 undi

Official results for P205 Saratok. Screenshot taken from a Sarawak Public Communications Unit Facebook livestream.

Oleh Chris Bishop

SARATOK, 19 Nov: Calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Ali Biju berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Saratok setelah menewaskan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Giendam Jonathan Tait dengan undi majoriti 8,826 undi.

Turut serta dalam pertandingan 3 penjuru di kerusi tersebut bagi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) ini ialah Ibil Jaya dari Pakatan Harapan (PH).


Keputusan rasmi diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Saratok Harun Mahadi di Dewan Sri Krian Saratok jam 10 malam tadi.

Ali mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendapat 19, 223 undi manakala Giendam yang mewakili Parti Progresif Demokratik (PDP) mendapat 10, 397 undi.

Ibil dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula hanya memperolehi 1,221 undi.

Dengan keputusan itu, Ali Biju berjaya mengukuhkan kedudukannya dengan menjadi Ahli Parlimen Saratok yang pertama kali dimenangi beliau pada PRU14 lalu.

Ali ketika ditemui menyifatkan kejayaan beliau pada PRU15 ini sebagai kebangkitan rakyat yang marah setelah GPS tidak menghormati ‘Gentlemen Agreement’ semasa PRN lepas.

Katanya, ketika PRN tahun lepas beliau diminta untuk menyerahkan DUN Krian kepada GPS.

“Kali ini kita lihat bagaimana undi di Krian, bahawa GPS memang kalah dan ini menunjukkan kemarahan rakyat Krian,” kata Ali.

Terdapat seramai 44,531 pengundi berdaftar untuk Parlimen Saratok pada PRU15 ini manakala peratusan keluar mengundi ialah 70. 2 peratus. — DayakDaily