Kerajaan persekutuan digesa wujud dana khas kaum Dayak pada Belanjawan 2022

From left (clockwise): Edward, Paul, Samuel, Rafael, John, Romuald, Wilfred. Centre: Wellie Henry.

KUCHING, 8 Mac: Lapan NGO Dayak menggesa kerajaan persekutuan mewujudkan satu dana yang dikhaskan untuk kaum Dayak pada Belanjawan Tahun 2022.

Menerusi satu kenyataan media hari ini, pemimpin-pemimpin dari NGO tersebut meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil kira peruntukan khas untuk kaum Dayak.

Menurut pemimpin-pemimpin NGO tersebut, kerajaan persekutuan ada memperuntukkan dana khas untuk Orang Asli, India dan Cina.

“Namun, agak menyedihkan seolah-olah kita tidak wujud dan tidak ada peruntukan langsung kepada kaum Dayak.

“Kita juga tidak membaca (tentang) peruntukan dana khas bagi kaum Kadazan-Dusun-Murut-Rungus [KDMR] di Sabah.

“Dari jumlah penduduk dalam negara, suku kaum Dayak Sarawak dan kaum KDMR adalah lebih kurang 2 juta orang. Namun, tidak dilihat dalam mana-mana belanjawan kerajaan persekutuan,” kata mereka.

Pemimpin NGO yang mengeluarkan kenyataan itu termasuk pengasas dan Timbalan Presiden Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Wellie Henry Majang dan Edward Awan, Setiausaha Agung Persatuan Balang Balai Nyabong (BBN) Dr John Brian, Setiausaha Persatuan Dayak Iban Sarawak (Sadia) Miri Rafael Dru, dan Presiden Persatuan Terabai Menua Sarawak Wilfred Nissem.

Tiga yang lain ialah Presiden Persatuan Jaringan Tanah Hak Adat Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS) Romuald Siew, Presiden Kongress Kebangsaan Dayak (DNC) Paul Raja dan Presiden Persatuan Iban Sarawak Samuel Suring.

Tambah pemimpin ini lagi, tindakan awal harus diambil untuk memperbetulkan agihan pembangunan antara semua kaum dan jika tidak, kaum Dayak akan terus ketinggalan dalam arus pembangunan.

Kata mereka, jurang pembangunan begitu ketara dan pembangunan kemudahan asas seperti jalanraya, sekolah, klinik, komunikasi, air bersih dan eletrik di kawasan kaum Dayak begitu jauh ketinggalan.

“Justeru, kita ingin menarik perhatian Perdana Menteri untuk menyemak semula janji-janji manis semasa pembentukan Malaysia yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63) dijaminkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Satu dari perkara asas dalam MA63 ialah kesaksamaan pembangunan di antara Malaya, Sarawak dan Sabah.

“Kita percaya, geran persekutuan dan peruntukan sewajarnya sesuai dengan janji asal MA63 ketika Malaysia ditubuhkan dilaksanakan lebih telus,” ujar mereka. — DayakDaily