Kerajaan mungkin menjalankan kerja cari gali minyak di kawasan daratan

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memukul gendang sebagai simbol merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan PBB Zon 2 (Samarahan).

KOTA SAMARAHAN, Jan 22: Sarawak melalui Petroleum Sarawak Berhad (Petros) berkemungkinan akan menjalankan kerja cari gali minyak di kawasan daratan negeri ini berikutan sudah menemui teknologi baharu yang sesuai bagi menjalankan kerja tersebut di padang pasir negara rantau Arab.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata teknologi terbabit ditemui ketika beliau bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengetuai rombongan wakil negeri ini melawat pelantar minyak di tengah padang pasir negara rantau Arab baru-baru ini.

“Kami telah melawat negara Oman yang ada padang pasir dan diseberang lautannya ialah negara Iran. Di negara itu, rombongan kami berpeluang melawat satu pelantar mengorek minyak di padang pasir dan dapat melihat teknologi baharu
menjalankan kerja cari dan gali minyak secara elektronik,” katanya ketika Majlis Perasmian sempena Mesyuarat Perwakilan Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon 2 (Samarahan) di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini, semalam.


Abang Johari berkata mengunakan teknologi cari gali minyak baharu tersebut, sumber minyak yang mencecah jutaan tong minyak telah berjaya ditemui dibawah padang pasir di Oman dan yakin negeri ini juga boleh mengunakan teknologi
sama bagi mencari gali minyak di kawasan daratannya.

“Sebab itu, saya juga membawa bersama wakil dari Petros, kerana mungkin bawah (tanah daratan) kawasan Miri sana ada sumber minyak, mana kita tahu,” katanya.

Disamping itu, beliau juga bercadang mencari cara baharu mengenakan cukai terhadap pihak menjalankan aktiviti mengeluarkan hasil minyak di Sarawak supaya cukai itu dapat digunakan kerajaan negeri bagi menjalankan lebih banyak projek pembangunan penting dikehendaki rakyat Sarawak.

Ini terutamanya bagi menjalankan kerja pembinaan semula bangunan sekolah dan tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang masih banyak usang di seluruh negeri ini kerana kerajaan negeri tidak dapat terus menunggu peruntukan menjalankan kerja itu dari kerajaan pusat.

Selain itu, beliau mendedahkan kerajaan negeri juga akan mengunakan sumber pendapatan dari cukai itu bagi menampung kos pembinaan sistem grid bekalan air paip negeri ini yang dijangka menelan kos sebanyak RM1 bilion bagi fasa pertamanya yang akan menyalurkan air bersih dari empangan Batang Ai.

Abang Johari berkata tindakan ini bagi mengatasi masalah bekalan air bersih yang masih berterusan berlaku di kebanyakan kampung dan rumah panjang di kawasan luar bandar dari bahagian Samarahan sehingga Sebuyau dan Tanjung Manis. Selepas itu, pembinaan fasa seterusnya ialah grid terbabit bagi menyalurkan air bersih dari empangan Bakun dan empangan Baleh. — DayakDaily