Kanser serviks pembunuh ketiga wanita Malaysia

Rohani (tengah) beramah mesra dengan peserta Program Hari Keluarga dan 'Wellbeing of Women' di Balai Raya, Ulu Nyalau.

BINTULU, Jan 22: Kanser serviks merupakan pembunuh ketiga tertinggi dalam kalangan wanita di Malaysia berdasarkan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2007, 2011 dan 2015.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 pula, hanya 47.3 peratus sahaja wanita yang menjalani ujian ‘pap smear’.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaporkan sebanyak 2,000 hingga 3,000 kemasukan ke hospital bagi kes kanser serviks setiap tahun.


“Sehubungan itu, saya berharap kempen ‘wellbeing of women’ (WOW) dapat menggalakkan golongan wanita menjalani ujian di semua Klinik Nur Sejahtera dan Klinik Subfertiliti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Saya juga berharap semua wanita di negara ini khususnya Sarawak mendapatkan perkhidmatan saringan kanser serviks sekali gus mengurangkan risiko bahaya kepada mereka,” katanya ketika berucap pada Program Hari Keluarga dan ‘Wellbeing of Women’ di Balai Raya, Ulu Nyalau di sini semalam.

Dalam pada itu, Rohani memberitahu berdasarkan Laporan Aktiviti Perkhidmatan Kesihatan Reproduktif LPPKN bagi 2017, seramai 28,470 orang telah menerima manfaat daripada kempen WOW tersebut.

Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 6,591 penerima ulangan, manakala 21,879 adalah penerima baharu.

“Untuk makluman semua, ujian pengesanan awal kanser pangkal rahim ini juga diberikan secara percuma sehingga 15 Februari 2018,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, program yang diadakan tersebut adalah bersempena dengan sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia (BKK1M) peringkat Parlimen yang dilaksanakan di bahagian Bintulu.

Ujar beliau, program seumpamanya diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang awam terhadap bahaya kanser payudara dan kanser serviks dan memberi maklumat mengenai subsidi ujian mammogram dan ujian ‘pap smear’ secara terus terutama kepada wanita.

“Melalui program ini, saya yakin dan percaya setiap ahli keluarga berpeluang untuk berinteraksi serta bermesra antara satu sama lain.

“Oleh itu, penerapan dan amalan nilai-nilai murni dalam proses sosialisasi asas melahirkan keluarga yang kukuh, sihat, berilmu dan berharmoni dapat diwujudkan dalam keluarga,” jelasnya. – DayakDaily