Lelaki jatuh sungai ditemui mati lemas

Anggota bomba menemui mangsa dalam keadaan lemas.

KUCHING, Jan 21: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika sedang membuang air besar di Pangkalan Panjang, Sungai Sarawak di sini semalam ditemui mati lemas di sungai tersebut petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mangsa, Bujang Abdullah, 63, ditemui dalam keadaan terapung oleh pasukan bomba pada pukul 5.35 petang.

Jelas beliau, mayat lelaki warga emas itu ditemui kira-kira 15 kaki dari tempat mangsa dilaporkan hilang sebelum ini.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Pangkalan Panjang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6 petang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


DayakDaily semalam melaporkan hajat seorang lelaki warga emas untuk membuang air besar di Pangkalan Panjang di sini berakhir dengan tragedi apabila dia dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa dari Kampung Sungai Bedil Besar di sini dikatakan terjatuh ke dalam sungai ketika sedang membuang air besar.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang minum dan duduk di tebing pangkalan di situ sebelum pergi membuang air besar di pangkalan di situ. — DayakDaily

Share this article!