Kerajaan lulus Projek Jajaran Transborneo dan Fasa 2 SSLR

Parliament of Malaysia crest. - file pic

KUCHING, 7 Mac: Kerajaan telah meluluskan projek berimpak tinggi iaitu pelaksanaan jajaran Transborneo yang merangkumi jajaran Fasa 2 Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak yang telah dibatalkan oleh kerajaan terdahulu.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia susulan lawatan Perdana Menteri ke Negara Brunei Darussalam pada 14 dan 15 Februari lepas.

“Kelulusan termasuk pelaksanaan Fasa 2 jajaran Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang merupakan kesinambungan Fasa 1 SSLR bagi menambahbaik jaringan jalan raya dari Miri, Limbang dan Lawas,” katanya.


Arthur berkata demikian bagi menjawab pertanyaan MP Igan Ahmad Johnie pada sidang Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa tarikh siap keseluruhan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Fasa 1 mengikut terma-terma kontrak adalah pada penghujung tahun 2022.

Namun katanya, pandemik wabak Covid-19 telah memberi kesan ke atas kemajuan kerja dan kos pembinaan projek ini.

“Justeru itu, dianggarkan beberapa pakej akan mengalami sedikit kelewatan dan anggaran tarikh siap akan melangkaui suku pertama tahun 2023.

“Pihak kementerian dan JKR Sarawak akan sentiasa memantau dan membuat pelbagai pelan mitigasi antara lainnya penyelarasan semula jadual pembinaan dan lanjutan masa.

“Ini bagi memastikan kelancaran serta kelangsungan beberapa pakej dalam projek ini agar tarikh penyiapan tidak terlalu jauh daripada tarikh asal,” kata Arthur.

Dalam pada itu, Arthur berkata status Projek LPB Sarawak sepanjang 786km sehingga Januari 2022 adalah 78 peratus siap di mana beberapa pakej dan seksyen telah dibuka untuk pengguna jalan raya.— DayakDaily