Kerajaan beli tambahan 6 juta vaksin — Ismail Sabri

File photo depicting a dose of a Covid-19 vaccine being prepared. Photo source: Flickr, Creative Commons License

KUCHING, 22 Ogos: Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bahawa kerajaan telah membuat pembelian tambahan sejumlah 6 juta dos vaksin Covid-19.

Katanya, ia akan diterima menjelang awal September 2021 dan merupakan satu berita baik kepada rakyat bersempena Bulan Kemerdekaan.

“Krisis pandemik telah memberikan kesan yang sangat serius dan menyeluruh kepada ekonomi dunia, termasuk ekonomi domestik negara kita.


“Pelbagai sektor industri, terutamanya perniagaan kecil dan sederhana, sangat terkesan.

“Ada yang masih bergelut dan ada yang gulung tikar. Ini memberikan impak yang besar kepada ekonomi rakyat serta negara,” katanya pada ucapan yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan petang ini.

Pada ucapan tersebut, Ismail Sabri berkata kerajaan akan menumpukan usaha ke arah mencapai dua objektif utama bagi tujuan mengurangkan kesan ekonomi yang berpanjangan.

Objektif pertama, katanya, ialah mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring dengan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna.

Manakala objektif kedua, mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Sehubungan itu, jelas beliau, fokus usaha kerajaan ialah rakyat yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian, rakyat yang berpendapatan sederhana, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta sektor perindustrian termasuk industri pelancongan domestik.

“Fokus ini merupakan sebahagian daripada inisiatif jangka pendek untuk mengembalikan ekonomi rakyat khususnya dan menjana ekonomi negara secara menyeluruh.

“Saya juga akan memastikan tiada mana-mana rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, bangsa, dan kaum yang tercicir atau terpinggir.

“Usaha kita tidak akan terhenti setakat ini. Kita akan terus bekerja bersama rakyat untuk membangunkan strategi baharu ekonomi bagi melaksanakan beberapa perubahan mendasar,” katanya.

Jelas Ismail Sabri, keseluruhannya ia bertujuan memperkukuh asas ekonomi negara dan mengembalikan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara. — DayakDaily