PM ajak seluruh Ahli Dewan Rakyat gembleng tenaga pulihkan negara

Unity. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 22 Ogos: Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob mengajak seluruh Ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara.

“Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan.

“Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu Keluarga Malaysia,” katanya pada ucapan yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan hari ini.


Jelas Ismail Sabri, pendekatan Keluarga Malaysia dipakai kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif.

Katanya, ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum, di mana semua menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua.

Sebab itu, ujar beliau, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

“Kita adalah sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia.

“Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan,” ujar beliau.

Ismail Sabri berkata beliau menginsafi kepayahan, kesengsaraan, dan keperitan hidup yang mencengkam rakyat semua.

Katanya, ada yang hilang mata pencarian, ada pula yang putus bekalan makanan, dan bukan sedikit yang telah dibuang kerja.

“Saya memahami keringat dan nilai sesuap nasi, kerana saya lahir dan membesar dalam keluarga anak petani yang susah.

“Oleh sebab itu, saya sangat menghayati kepayahan dan keperitan hidup rakyat pada masa negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak Covid-19 ini.” — DayakDaily