Kerajaan akan terus menyukat tanah NCR sehingga habis — Awang Tengah

Awang Tengah (dua dari kiri) menyerahkan surat hak milik kepada para penerima di bawah program SALCRA di kawasan Bau/Lundu.

KUCHING, Mei 4: Kerajaan tidak akan menghentikan penyukatan perimeter tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini, untuk memastikan semua pemilik tanah mendapat surat hak milik masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata usaha itu merupakan proses berterusan yang dilaksanakan kerajaan negeri dan persekutuan dari semasa ke semasa.

“Kerajaan menyedari perlunya setiap tanah NCR dikeluarkan surat hak milik kepada pemilik yang sah namun ini tidak dapat dilaksanakan secara sekali gus kerana ia membabitkan kawasan tanah yang luas.


“Oleh sebab itu, saya berharap pemilik-pemilik tanah ini bersabar,” katanya pada majlis penyampaian surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 kepada 287 pekebun kecil SALCRA di kawasan Bau/Lundu.

Turut hadir calon BN untuk kawasan Parlimen Mas Gading Datuk Anthony Nogeh Gumbek dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Jinep.

Menurut Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Perancangan Sumber II, setakat ini kira-kira 835,000 hektar tanah NCR telah diukur, yang dibiayai oleh kerajaan persekutuan.

Sementara itu bagi pekebun kecil SALCRA, beliau berkata 25,031 plot tanah telah diukur iaitu seluas 54,074 hektar yang terletak di empat kawasan di Bau-Lundu, Serian, Sri Aman dan Saratok.

Tambah beliau sehingga April 30 tahun ini, sejumlah 12,038 tanah seluas 22,822 hektar di bawah program SALCRA telah dikeluarkan surat hak milik.

Manakala, katanya sebanyak 12,933 plot tanah telah diukur dan masih menunggu Jabatan Tanah dan Survei untuk mengeluarkan surat hak milik.

Bagi SALCRA Bau/Lundu, beliau berkata 3,542 daripada 7,071 plot tanah seluas 7,205 hektar telah diukur dan dikeluarkan surat hak milik. — DayakDaily