Masih banyak majikan di Sarawak tidak mencarum Perkeso

Philip (tiga kanan) bersama Aseh (empat kanan) dan tetamu-tetamu kehormat lain merakamkan gambar bersama para penerima faedah Perkeso.

KUCHING, Mei 4: Kesedaran majikan di negeri ini untuk melindungi pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) masih kurang memuaskan, walaupun tindakan demi tindakan diambil ke atas majikan yang terbabit.

Pengarah Perkeso Sarawak, Phillip Sangkan berkata masih banyak majikan yang didapati mengabaikan keselamatan dan kebajikan pekerja dengan tidak mencarum kepada Perkeso.

Menurut beliau, setakat April tahun ini, sebanyak 51 kes majikan yang dikesan gagal mematuhi peraturan itu telah dihadapkan ke mahkamah untuk diambil tindakan.

“Kami (Perkeso Sarawak) tidak akan berhenti memburu majikan-majikan seperti ini dan akan terus menjalankan aktiviti penguatkuasaan dari semasa ke semasa dengan harapan agar semua majikan di negeri ini bertanggungjawab mencarum pekerja mereka dengan Perkeso,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan rasmi Pengerusi Lembaga Perkeso Tan Sri Dr Aseh Che Mat di Pejabat Perkeso Sarawak di sini.

Philip berkata tidak ada alasan untuk majikan di negeri ini tidak mencarum pekerja mereka kerana Perkeso mudah dihubungi, di mana ia mempunyai sebanyak 10 buah pejabat yang beroperasi di Kuching, Serian, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Miri, Mukah, Bintulu, Kapit dan Limbang.

Selain itu, beliau juga berkata walaupun Perkeso mempunyai pejabat di seluruh negeri, namun pihaknya berhadapan dengan cabaran untuk mengesan waris terutama di kawasan pedalaman.

Katanya setakat Mac tahun ini, Perkeso Sarawak telah memproses sebanyak 2,493 kes tuntutan membabitkan pembayaran faedah berjumlah RM7.8 juta.

Sementara itu, Philip berkata Perkeso juga telah memperkenalkan skim baru tahun ini iaitu Skim Insuran Pekerjaan (SIP).

Beliau berkata skim tersebut juga telah memanfaatkan pekerja di Sarawak di mana sehingga Mei ini, Perkeso Sarawak menerima sebanyak 355 kes SIP dengan 215 kes telah dibayar.

Manakala, Aseh menjelaskan penerima SIP akan menikmati bayaran faedah sehingga 90 peratus daripada gaji bulanan mereka apabila skim ini mencapai tempoh matang tahun depan.

“SIP mula dilaksanakan pada Januari 1 tahun ini dan apabila ia mencapai tempoh matang nanti, penerima faedah akan dibayar sehingga 90 peratus daripada gaji bulanan mereka.

“Ini bermakna jika gaji pekerja itu RM4,000 sebulan maka beliau akan menerima bayaran faedah RM3,200 sebulan,” katanya. ā€” DayakDaily