Keputusan Sarawak keluarkan dokumen khas sementara satu langkah baik — Sharifah Hasidah

Sharifah Hasidah (tiga dari kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada salah seorang penerima.

KUCHING, 10 April: Keputusan Kerajaan Negeri mengeluarkan dokumen khas sementara untuk individu berumur 21 tahun ke bawah yang tiada status kewarganegaraan adalah satu langkah yang baik.

Menurut Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ia sewajarnya disokong oleh semua.

“Saya menyambut baik pengumuman menteri itu. Kita memang amat prihatin kepada nasib anak-anak yang tiada status kewarganegaraan ini.

“Saya sokong. Kalau kerajaan ingin membantu anak-anak yang tiada status kewarganegaraan untuk akses pendidikan ia sesuatu yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pengagihan Bubur Lambuk di Masjid Darul Ibadah Kampung Semariang Lama di sini, hari ini.

Pada semalam Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah memaklumkan Sarawak akan menyediakan dokumen khas sementara kepada individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah tidak lama lagi.

Katanya, dokumen khas tersebut yang dibuat khusus bagi membantu golongan yang berdepan masalah kewarganegaraan akan dikeluarkan oleh Pejabat Pemier Sarawak.

Perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Kabinet Sarawak yang diadakan baru-baru ini.

Ia bertujuan untuk memudahkan golongan berkenaan mendaftar bagi menikmati kemudahan pendidikan dan kesihatan di sekolah dan hospital kerajaan. — DayakDaily