Keputusan PRK Tanjung Piai pengajaran kepada PH — SUPP Dudong

Wong berucap di Sambutan Ulang Tahun Keagamaan Kuil Da Wan Gong di Sungai Menyan, Dudong.

KUCHING, Nov 18: Pengerusi SUPP Cawangan Dudong, Wong Ching Yong menyifatkan kekalahan calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sebagai suara rakyat yang bercakap kuat dan jelas kepada PH.

Menurut beliau dalam satu kenyataan media, kegagalan Pakatan Harapan (PH) pada PRK tersebut adalah sebagai pengajaran kepada PH yang telah tidak menunaikan janji-janji mereka.

“Calon PH kalah dengan majoriti lebih 15,000 undi dan ia juga isyarat kemarahan rakyat terhadap kerajaan PH yang gagal menunaikan janji-janji yang termaktub dalam Buku Harapan.


“Kehidupan menjadi lebih sukar di bawah PH yang nampaknya tidak mampu menangani masalah ekonomi seperti kenaikan kos sara hidup dan harga komoditi yang rendah terutamanya kelapa sawit,” katanya.

Beliau berkata demikian di Sambutan Ulang Tahun Keagamaan Kuil Da Wan Gong di Sungai Menyan yang terletak di Dudong, semalam.

Tambah Wong, kerajaan PH tidak mempunyai penyelesaian untuk semua masalah ekonomi ini.

Ujar beliau, ada 60 janji pilihan raya di dalam senarai Buku Harapan dan tidak banyak yang telah ditunaikan kerajaan PH.

Pada PRK Tanjung Piai, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi.

Beliau memperoleh 25,466 undi untuk mengatasi pesaing terdekatnya yang juga calon PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi, dan empat pencabar lain.

Berhubung peruntukan RM15 juta dalam Belanjawan 2020 kepada 61 buah Sekolah Menengah Cina Bebas (ICSS), Wong berkata jumlah tersebut jauh dari mencukupi.

Menurut Wong, terdapat kira-kira 85,000 pelajar yang belajar di ICSS di seluruh negara dan dengan peruntukan tersebut bermakna setiap pelajar mendapat kira-kira RM175.

“Sedangkan pada 2018, kerajaan Negeri Sarawak di bawah pimpinan Abang Johari memperuntukkan RM8 juta kepada 14 ICSS di Sarawak yang mempunyai 7,950 pelajar.

“Dengan peruntukan RM8 juta itu, setiap pelajar ICSS di Sarawak mendapat RM1,003.

“Aritmetik mudah ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri Sarawak lebih perihatin daripada kerajaan persekutuan PH,” ujar beliau lagi.

Di samping itu, Wong menegaskan yang kerajaan PH masih belum memberi pengiktirafan terhadap UEC, isu yang dekat di hati masyarakat cina.

Setelah berkuasa, menurut beliau, kerajaan PH menggunakan alasan-alasan yang lemah yang akhirnya membawa banyak kekecewaan kepada masyarakat Cina di Semenanjung Malaysia.

Sebaliknya, kerajaan Sarawak telah mengiktiraf UEC sepenuhnya, tegas Wong. — DayakDaily