Keprihatinan Perdana Menteri sentuh hati Aris

Muhyiddin (tengah) menyerahkan sedikit sumbangan kepada Aris Johari, 75, ketika melakukan Ziarah Prihatin di Kampung Sindang Baru, Kota Samarahan.

Oleh Cornelius Kadir Edison

KOTA SAMARAHAN, 2 April: Perpatah ‘Pemimpin dan rakyat berpisah tiada’ amat sesuai mengambarkan sikap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila beliau meluangkan sedikit masanya menziahi bekas Bilal Kampung Sindang Baru, Aris Johari, 75,  di Kampung Sindang Baru di sini.

Aris yang menghidap penyakit sendi dan saraf sejak lebih tiga tahun, kini hanya bergantung kepada kiriman wang anak-anaknya bagi perbelanjaan harian beliau, isteri dan seorang lagi anaknya yang berusia 48 tahun.


“Saya berasa amat terkejut, terharu dan tidak menyangka pemimpin nombor satu negara datang menziarah saya di sini,” kata Aris ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sindang Baru di sini hari ini.

Beliau hanya mengetahui perkara itu semalam selepas dimaklumkan oleh kakitangan Jabatan  Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak semalam.

Sakit sendi yang dideritai Aris itu membuatkan beliau yang hanya berkerja kampung itu tidak dapat berkerja dan hanya mengharapkan kiriman daripada anak-anaknya bagi perbelanjaan harian.

“Saya tinggal bertiga sahaja di rumah ini bersama dengan isteri dan seorang lagi anak saya dan sekarang ini saya tidak berkerja apa-apa lagi sebab kaki saya sakit.

“Keadaan kaki saya ini menyebabkan pergerakkan saya terbatas selain saya perlu berjumpa dengan doktor seminggu sekali,” katanya.

Menurut Aris, dia menghidap penyakit tersebut hampir 20 tahun ketika dia mula-mula mengambil ubat selepas disahkan menghidap penyakit darah tinggi.

Katanya, keadaannya itu bertambah teruk sehingga dia terpaksa menjalani pembedahan pada bulan Mei 2019 selain perlu bertemu doktor seminggu sekali.

Tambah Aris, walaupun menghadapi keadaan tidak mampu lagi berkerja, beliau  sebelum ini tidak pernah memohon atau menerima bantuan bulan sama ada dari Baitulmal atau JKM.

Katanya, segala perbelanjaan harian dan keperluan lain yang diperlukan olehnya dan isteri adalah daripada kiriman wang anak-anaknya.

“Saya memang tak minta bantuan daripada JKM sebab rasa masih boleh berkerja selain rasa malu juga hendak minta apa-apa bantuan,” katanya.

Mengulas mengenai bantuan yang diterimanya hari ini, Aris berkata dia tidak mengetahui mengenainya secara tepat kerana perkara itu baharu sahaja di maklumkan kepadanya.

“Saya pun tidak tahu, jadi terkejut saya apabila ditemuramah kakitangan daripada JKM semalam selain memberitahu bahawa Perdana Menteri akan menziarahi saya hari ini (2 April),” katanya. — DayakDaily