Keperluan pindaan Ordinan Bangunan Sarawak dikaji – Dr Sim

Dr Sim (duduk tengah) pada Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan 2021) di Kuching.

KUCHING, 3 Okt: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan sedang mengkaji pindaan terhadap Ordinan Bangunan Sarawak 1994.

Menterinya Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, terdapat keperluan untuk melakukan pindaan kerana keadaan sekarang sudah berubah berbanding masa dahulu.

“Dahulu kita tidak memiliki banyak bangunan tinggi dan kondominium, tetapi sekarang sudah berubah.

“Kementerian saya akan melakukan perkara yang patut dalam pindaan Ordinan Bangunan Sarawak dan kita bukan sahaja hanya melihat kepada ketetapan kebangsaan, kalau ada keperluan pindaan berkaitan Sarawak kita akan lakukannya,” kata Dr Sim.

Beliau berkata demikian di sidang media selesai Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan 2021) di sini, hari ini.

Tambah Dr Sim, pindaan terhadap ordinan itu juga seiring dengan usaha Sarawak untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Katanya, Sarawak pada ketika itu nanti bukan sekadar sebagai negeri kaya tetapi seharusnya setaraf dengan negara maju lain.

Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan 2021) dihadiri lebih 200 peserta yang mewakili agensi kerajaan pusat dan negeri termasuk pihak swasta.

Pada tahun 2021, pindaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 dibuat yang diwartakan pada 31 Disember 2021.

Ia telah digunapakai oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam menentukan keperluan kebombaan dalam aspek keselamatan kebakaran melibatkan kelulusan pelan, pemeriksaan bangunan dan penguatkuasaan.

Pindaan ini dilakukan berdasarkan faktor semasa dengan menilai perkembangan pembangunan, peningkatan populasi kewujudan teknologi dengan teras utama adalah untuk keselamatan nyawa dan harta benda serta alam sekitar.

Hadir sama Ketua Pengarah JBPM Dato Sri Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Sarawak Datu Khirudin Drahman. — DayakDaily