Harga minyak sawit botol turun mulai 8 Oktober

Nanta (kanan).

KUCHING, 3 OKT: Harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen yang dibungkus dalam botol 1 kg dan 2 kg kini masing-masing adalah RM7.10 dan RM13.50.

Manakala bagi botol 3 kg dan 5 kg pula ialah RM19.90 dan RM31.50.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan berkata, harga baru ini berkuat kuasa pada 8 Oktober 2022 sehingga 7 November 2022.


“Ini susulan pengumuman Perdana Menteri mengenai komitmen kerajaan untuk membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga minyak masak sawit tulen botol 1 kilogram hingga 5 kilogram.

“Kerajaan telah melaksanakan program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang minyak mentah kelapa sawit,” katanya.

Terdahulu harga minyak masak botol 1 kg ialah RM7.50, dua kg (RM14.70) dan tiga kg (RM21.10).

Tambah Nanta, mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

Katanya, individu boleh didenda di mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000. — DayakDaily

Harga siling runcit minyak masak tulen kemasan botol.