Kementerian perlu bersikap adil terhadap pemenang pingat emas Sukma

Saifunnizam Sam

KUCHING, Nov 30: Angkatan Muda Keadilan Petra Jaya menuntut Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri bersikap adil terhadap atlet Sarawak yang memenangi pingat emas di Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Ketua angkatan Saifunnizam Sam berkata demikian apabila mengulas laporan media tempatan, di mana menteri belia dan sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa agar pemenang pingat emas tidak mempersoalkan isu pemberian insentif kemenangan yang diberikan kerajaan negeri.

“Isu ini berbangkit apabila sebahagian atlit Sarawak yang berjaya meraih pingat emas mempersoalkan mengapa insentif pingat emas dikurangkan 40 peratus daripada apa yang telah dijanjikan pada awalnya, iaitu insentif tunai RM5,000 bagi setiap pingat emas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Saifunnizam berkata atlet terbabit amat terkejut apabila mendapati insentif yang diterima mereka di satu majlis penghargaan hanyalah bernilai RM3,000, jauh daripada apa yang telah dijanjikan dan seolah menggambarkan bahawa segala jerih penat dan tenaga keringat yang dicurahkan mereka untuk memenangi pingat emas tidak dihargai.

“Saya sendiri telah menyemak dan melayari laman sosial Facebook milik Grace Wong di mana beliau menlahirkan rasa terkilan dan kecewa, apatah lagi apabila mereka semua hanya mengetahui tentang pengurangan ganjaran tersebut hanya selepas menerima dan membuka sampul insentif,” katanya.

Beliau melahirkan rasa kesal dan berpendirian bahawa isu sebegini tidak seharusnya timbul sama sekali, kerana atlit negeri terpaksa melalui pelbagai ranjau dan dugaan serta telah berjuang bermati-matian pada hari pertandingan untuk memperolehi pingat emas.

“Ini bukannya soal kewajipan anak Sarawak mengharumkan nama negeri atau memberi jasa bakti kepada negeri tetapi mengenai pengorbanan mereka yang tidak ternilai dan tidak mungkin dibalas dengan wang ringgit.

“Isu yang lebih mendesak sebenarnya adalah hak mereka yang dicabuli, sebagaimana yang telah dijanjikan sebelum temasya Sukma,” katanya.

Menurutnya kenyataan Abdul Karim dalam media, di mana beliau berharap para atlit pemenang emas Sarawak tidak lagi mempersoalkan janji tidak ditepati ini, amat dikesali kerana para atlit tidak sewajarnya diarah tutup mulut sedangkan mereka bersuara hanya untuk memperjuangkan hak mereka.

Tambahnya, alasan ganjaran tunai pingat emas dikurangkan demi membolehkan insentif pemenang pingat perak dan gangsa dinaikkan supaya jurang perbezaan terlalu besar dapat disempitkan, tidak boleh diterima sama sekali.

“Meskipun saya sokong sepenuhnya keputusan menaikkan insentif bagi pemenang pingat perak dan gangsa namun saya bantah penarikan hak pemenang pingat emas sebagai ganti,” katanya.

Saifunnizam berkata biarpun kos mungkin akan meningkat sedikit untuk membolehkan insentif pingat perak dan gangsa dinaikkan, pelaksanaannya boleh dikaji semula pada masa akan datang.

Justeru, beliau menggesa agar kementerian menunaikan janji kepada semua pemenang pingat emas Sarawak di Sukma 2018 supaya hak setiap warga Sarawak termasuk atlit harus dibela setiap masa. — DayakDaily