Kejadian itu trauma bagi saya, kata kapten Feri Triso

Kepten Feri Triso, Kurni Denan.

Oleh Cornelius Kadir Edison

SEBUYAU, 2 Jan: Kejadian sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terjatuh ke dalam sungai di Pengkalan Feri Triso di sini semalam (1 Jan) masih meninggalkan trauma kepada kapten salah sebuah feri yang beroperasi di pengkalan tersebut.

Kurni Denan, 47, berkata beliau melihat dengan jelas bagaimana kenderaan tersebut yang tiba-tiba muncul lalu terjatuh dari pengkalan feri berkenaan.


Beliau yang mempunyai pengalaman 17 tahun sebagai pelaut dan telah tujuh tahun mengendalikan feri di Pengkalan Feri Triso menyifatkan kejadian itu yang pertama seumpama itu di hadapinya.

Katanya, perkara paling tidak dapat dilupakannya tatkala melihat tangan mangsa yang terkapai-kapai semasa kenderaan tersebut mulai tengelam.

“Apa yang paling menyedihkan saya apabila melihat tangan yang terakhir itu, tidak dapat digambarkan, malam tadi entah jam berapa baru dapat tidur, pejam sahaja mata macam nampak sahaja tangan mangsa itu semasa kenderaan itu tengelam,” katanya ketika di temui di sini hari ini.

Kurni berkata ketika kejadian sebuah lagi feri iaitu Primerose XXVI telahpun keluar daripada pengkalan tersebut dan berada pada jarak lebih kurang 60 meter.

Katanya, situasi itu secara dasarnya akan membolehkan beliau menjajarkan semula feri yang dikendalikannya untuk masuk ke pengkalan tersebut.

Namun sebelum beliau sempat menjajarkan ferinya, kenderaan dipandu mangsa tiba-tiba muncul lalu terus menuju ke pengkalan terbabit.

“Apabila saya sudah menjajarkan feri secara lurus untuk masuk pengkalan, saya hairan melihat kenderaan tersebut tiba-tiba turun, tanpa brek atau apa-apa.

“Lepas itu saya katakan kepada rakan saya, kenapa kenderaan tersebut turun, tidak ada feri di situ dan sebab itu saya merasa hairan kenapa kenderaan itu terus turun dan masuk ke dalam air,” katanya.

Feri yang di kendalikan oleh Kurni ketika kejadian sebuah kenderaan pacuan empat roda yang jatuh ke dalam air di Pengkalan Feri Triso, Sebuyau semalam (1 Jan, 2021).

Ujar Kurni, beliau kesal dengan tuduhan melulu segelintir pengguna media sosial yang menuduh pengendali feri  terbabit cuai atau mengarahkan mangsa mengundurkan kenderaannya dengan mendakwa feri sudah penuh.

Katanya, apa yang ditulis oleh pengguna media sosial terbabit adalah tidak benar kerana beliau merupakan antara saksi utama yang melihat kejadian terbabit.

Malah katanya, beliau tidak terus menghantar penumpang feri yang di kendalikannya ke pengkalan terbabit sebaliknya terlebih dahulu untuk cuba menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Bagaimanapun kenderaan mangsa yang tenggelam dengan cepat membuatkan beliau dan kelasi lain di dalam feri tersebut tidak sempat menyelamatkan mangsa.

“Kami terus turunkan rem feri ke bawah untuk menolak kenderaan tersebut ke tepi namun tidak sempat disebabkan kenderaan tersebut terus tenggelam dengan cepat.

“Situasi itu yang membuatkan saya masih trauma sehingga kini apabila mengingatkan saat terakhir mangsa sebelum kenderaan itu tenggelam,” katanya.

Mereka yang terkorban ialah Ronany Ting (pemandu), 33, Siti Aisha Abdullah, 36, Mohd Ahmad Mohd Hamdan, empat bulan, Muhd Mustaqim Mohd Hamdan, 5, Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7, Wallace Phang, 7, Alvin Phang,12, Khairunnisa Muhamad, 14, dan Nor Shuhada Mohamad, 16. — DayakDaily