Kediaman sementara untuk mangsa kebakaran Rh Bujang

Awang Tengah mengadakan dialog dengan mangsa kebakaran. Foto: Ukas

KUCHING, 29 Jan: Usaha kini ditumpukan untuk mendirikan tempat kediaman sementara bagi menempatkan mangsa kejadian kebakaran Rumah Bujang, Rantau Kiran di sini yang berlaku pada 25 Januari lepas.

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, penempatan sementara itu akan dilengkapkan dengan kemudahan penting bagi memberi keselesaan kepada mangsa terlibat.

Katanya, pembinaan semula rumah panjang tersebut dijangka akan memerlukan sekitar dua hingga tiga tahun untuk disiapkan.

”Bagi kemudahan elektrik, saya telah meminta pihak Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) supaya memastikan kerja-kerja pendawaian elektrik dilakukan oleh orang yang bertauliah.

”Penempatan sementara ini akan digunakan untuk tempoh lama dan kita tidak mahu berlaku lagi bencana yang berpunca daripada isu elektrik. Jadi pihak Sarawak Energy kena pastikan perkara ini.

“Saya tidak mahu penduduk di sini berada dalam kegelapan pada waktu malam,” katanya sebagai memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

Awang Tengah pada Sabtu (28 Jan) telah mengadakan lawatan ke tapak kebakaran rumah panjang tersebut di Nanga Medamit, Limbang.

Tambah beliau, Majlis Daerah Limbang akan menyediakan kemudahan tandas dan bilik mandi untuk kegunaan Sementara manakala pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) telah diminta menyediakan tangki air untuk kegunaan penduduk.

”Saya juga mahu pihak JBALB dan Lake (Laku Management Sdn BHD) bekerjasama menghantar bekalan air ke sini. Dalam masa sama, kita akan cuba memperbaiki bekalan air ’gravity feed’ yang digunakan di sini,” ujarnya.

Sementara itu, beliau mengumum akan menyalurkan peruntukan berjumlah RM50,000 menerusi pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk pembinaan kediaman sementara yang selesa.

Tambahnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak juga akan menyalurkan bantuan bernilai RM5,000 setiap pintu manakala dana sebanyak RM50,000 turut disumbangkan oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) dan Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA).

Pada lawatan ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah turut menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM1,500 manakala Timbalan Menteri Industri Makanan, Komiditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pula menyumbangkan RM300 setiap pintu. — DayakDaily