Kebolehpasaran graduan Unimas selepas 6 bulan mencecah 81 peratus tahun lepas

Wan Hashim (dua dari kanan) menyaksikan Sulong (tiga dari kanan) menerima sumbangan dari pihak penaja TRACE 2019 di majlis perasmian program tersebut

KOTA SAMARAHAN, April 10: Graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) tidak menghadapi masalah mendapatkan pekerjaan berikutan kadar kebolehpasaran graduannya selepas enam bulan didapati mencecah sehingga 81 peratus tahun lepas.

Timbalan Naib Canselor (Pendidikan dan Inovasi) Unimas, Professor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim berkata ini bermakna 81 peratus dari keseluruhannya seramai 4,103 graduan dari enam fakulti Unimas tahun lepas mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas bergraduat.

“Unimas telah berjaya memperolehi 82 peratus kadar kebolehpasaran graduan 6 bulan selepas bergraduat bagi tahun 2018 yang lalu,” katanya ketika mewakili Naib Canselor Unimas, Professor Dr Mohamad Kadim Suaidi di Majlis Perasmian Program Pameran Kerjaya dan Pengambilan Bakat (TRACE) 2019 di Detar Putra Unimas, Kampus Unimas, di sini, semalam.


TRACE Unimas 2019 telah dirasmikan Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas, Tan Sri Panglima Sulong Matjeraie dan juga dihadiri Dean Pusat Pembangunan Pelajar Unimas, Professor Dr Siti Raudzah Ghazali serta Ketua Sektretariat Protege, Norashikin Dato Ismail.

Wan Hashim berkata graduan dari fakulti perubatan dan kejururawatan Unimas adalah tertinggi kadar terbabit atau hampir 100 peratus selepas enam bulan bergraduat tahun lepas.

“Malahan pernah ada majikan yang sehingga memborong (pengambilan graduan sehingga) 100 peratus bagi satu kelas dalam fakulti perubatan Unimas,” katanya.

Katanya graduan Unimas lain yang tinggi kadar terlibat ialah dari fakulti kejuruteraan termasuk kejuruteraan kimia dan dari fakulti sains komputer terutamanya graduan kejuruteraan perisian serta dari fakulti ekonomi terutama graduan perakuanan dan kewangan.

“Melalui program Unimas TRACE ini, kita menyediakan platform kepada pelajarnya untuk berinteraksi secara langsung dengan majikan melalui temuduga terbuka bagi mengisi jawatan kosong atau penempatan latihan industri di syarikat mereka,” katanya.

Ini kerana tahun ini lebih 10,000 kekosongan jawatan akan ditawarkan seramai 95 pihak majikan dalam TRACE 2019 dan pihaknya juga berharap peluang ini akan dimanfaatkan sepenuhnya juga kalangan pencari kerja di Sarawak. — DayakDaily