“Keberanian King Wei perjelas pindaan RUU pindaan pelembagaan Sarawak wajar dipuji”

Abdullah Saidol — file pic

KUCHING, 11 Nov: Keberanian dan kejujuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Wong King Wei mendedahkan kedudukan sebenar pindaan Pelembangaan Negeri Sarawak wajar dipuji dan dihargai.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Abdullah Saidol berkata sebagai seorang peguam dan pengamal undang-undang berpengalaman, Wong telah memberikan penjelasan yang betul dengan fakta yang jelas.

“Penjelasan yang diberikan oleh Wong King Wei dalam ucapannya secara tidak langsung telah mendedahkan bahawa ADUN Kota Sentosa Chong Chieng Jen dan ADUN Pending Violet Yong yang cuba untuk mengelirukan orang ramai dengan memberikan persepsi dan fakta yang tidak tepat tentang pindaan tersebut,” menurut beliau dalam satu kenyataan.


Tambah beliau, Wong yang kini ADUN bebas telah menrungkaikan kekusutan berkenaan pindaan tersebut agar ia difahami dengan lebih jelas oleh semua pihak.

Semalam Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah membentangkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan Sarawak berkaitan menurunkan usia minimum kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sekarang.

Bagaimanapun RUU terbabit ditunda oleh Speaker Dewan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Nassar kerana terdapat anomali dalam penggubalan RUU tersebut dan anomali berkenaan berkaitan tafsiran.

Abdul Karim sebelum itu menerangkan RUU tersebut bertujuan meminda Perkara 16 Perlembagaan Sarawak dengan yang pertama menurunkan had umur layak menjadi ahli DUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan kedua, menafsirkan serta menjelaskan perkataan “penduduk negeri. — DayakDaily