Kawasan luar bandar Sarawak bakal nikmati bekalan elektrik 24 jam menjelang 2025, kata Dr Abdul Rahman

Dr Abdul Rahman (lima dari kanan) merakamkan gambar bersama tetamu dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri.

KUCHING, Jun 26: Kawasan luar bandar di negeri ini dijangka mencapai 100 peratus akses bekalan elektrik menjelang 2025.

Menteri Muda Bekalan Elektrik Sarawak, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pada masa ini dianggarkan kira-kira 90 peratus akses bekalan elektrik telah dibangunkan melibatkan kawasan luar bandar di negeri ini.

Jelasnya, meskipun berdepan cabaran unik kerana taburan penduduk luar bandar yang berselerak terutama di kawasan pergunungan atau hulu sungai yang terpencil, kerajaan negeri menerusi Sarawak Energy Berhad akan terus memastikan masyarakat luar bandar menikmati akses kepada bekalan elektrik 24 jam secara berterusan.


“Kita yakin berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran 100 peratus akses bekalan elektrik menjelang 2025.

“Setakat ini, liputan bekalan elektrik ke kawasan luar bandar di negeri ini adalah 90 peratus,” katanya semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu menambah, pihaknya yakin sasaran tersebut mampu dicapai menerusi pelaksanaan projek Skim Bekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar (SARES).

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri menerusi Kementerian Utiliti mengakui proses tersebut akan menjadi sedikit perlahan susulan penyaluran peruntukan dariapda kerajaan Persekutuan tidak lagi seperti sebelum ini.

“Namun, kita tetap optimis sasaran semua kawasan penempatan di luar bandar di Sarawak akan menerima bekalan elektrik menjelang tahun 2025,” katanya.

SARES merupakan projek melibatkan pembinaan sistem alternatif mandiri menggunakan teknologi mikro hidro atau solar.

Sistem SARES boleh memenuhi keperluan asas elektrik bagi kemudahan seperti lampu, kipas, televisyen, peti sejuk dan periuk nasi elektrik yang sebelum ini dijana melalui set generator menggunakan diesel. — DayakDaily