Kata sepakat dicapai bagi 35 peratus kerusi Parlimen Sarawak dan Sabah

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Photo credit: Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar Facebook page

KUCHING, 5 Okt: Kata sepakat secara kolektif dicapai bagi merealisasikan representasi 35 peratus kerusi Parlimen Sarawak dan Sabah.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Menteri Parlimen dan Undang-Undang Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kesepakatan tersebut terwujud menerusi satu libat urus di kalangan Ahli-Ahli Parlimen khususnya dari Sabah dan Sarawak.

Katanya, kesemua Ahli Parlimen juga sepakat supaya mana-mana kerajaan yang terbentuk memimpin selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memberi penuh komitmen untuk meneruskan kesinambungan bagi merealisasikan perkara ini.


“Kita dibentangkan dengan sejarah oleh seorang pegawai yang memberitahu maklumat berhubung dengan apa yang dibincang dalam Komisi Cobbold, Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan apa yang kita dapati menjadi satu petanda aras khususnya untuk mengekalkan wakil rakyat daripada Sarawak dan Sabah mengikut peratusan yang ada pada tahun 1993.

“Kita telah diperingatkan semula oleh pegawai berkenaan dan saya tidak melihat perkara itu adalah satu masalah kerana ia merupakan kesan sejarah yang telah tertulis dalam buku-buku berhubung dengan Laporan Komisi Cobbold, Laporan IGC dan sebagainya,” katanya kepada Ukas selepas Taklimat Khas Kepada Ahli-ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong turut diminta untuk menjelaskan perjalanan undang-undang Malaysia memandangkan perkara ini melibatkan pindaan kepada perlembagaan.

Ujarnya, dua perkara dalam perlembagaan yang patut dipinda berhubung dengan perkara ini, yang pertama adalah Perkara 46 dan yang kedua Perkara 113 itu sendiri.

Justeru katanya, kita perlu menggubal satu kertas jemaah menteri yang masih dirancang sekarang kerana kita hendak melihat daripada sudut penulisan itu sendiri apa yang kita nak minta daripada jemaah menteri.

“Saya sudah memberi garis panduan kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mana kita akan meminta kepada kerajaan iaitu jemaah menteri untuk memutuskan satu keputusan dasar supaya kajian dapat dibuat oleh pihak BHEUU dan AGC secara terperinci, ” ujarnya.

Tambah Wan Junaidi, apabila kerajaan sudah membuat keputusan bersetuju, dasar itu kelak akan dimaklumkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk dibuat kajian.

“Pihak SPR diminta untuk mengkaji perbatasan di Sabah dan Sarawak untuk meletakkan dimana tambahan-tambahan yang patut dan boleh dibuat. Penambahan itu nanti sudah pastinya akan menambahkan juga ahli dewan negeri Sabah dan Sarawak.

“Setelah buat kajian barulah kita akan meminda Perkara 46 dan Perkara 113 untuk penambahan yang telah dipersetujui.

“Hanya satu perkara, selepas pilihan raya berlaku nanti, jangan ada pentadbiran atau Perdana Menteri yang akan datang, lupa perkara ini. Sebab ini sudah dipersetujui dan kita dah terima,” jelas beliau. — DayakDaily