Sagah tinjau projek pembangunan sekolah daif lewat siap di Lubok Antu

Sagah (tiga kiri) pada tinjauan ke SK Nanga Kesit di Lubok Antu. Foto: Ukas

KUCHING, 5 Okt: Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn pada semalam memantau kemajuan projek pembangunan semula sekolah daif di kawasan Lubok Antu.

Sagah memulakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Kesit bagi meninjau dan mengenalpasti punca kelewatan pembinaan bangunan sekolah dan kuarters guru yang tidak mengikut jadual asal yang ditetapkan.

Projek tersebut telah lewat tujuh bulan daripada jadual asal di mana tahap kemajuan setakat kini adalah 74.86 peratus.


Dalam pada itu, pihak kontraktor memberi jaminan untuk menyiapkan projek itu pada penghujung tahun 2022.

Sagah kemudiannya melawat ke SK Batang Ai yang turut menghadapi masalah kelewatan.

Masalah melibatkan pembinaan bangunan asrama lelaki dan perempuan, ‘pump house’, tangki air 1 dan 2 serta bangunan kuarters.

Projek yang sepatutnya siap pada 26 April 2022 itu kini diberi tarikh siap baharu iaitu 12 Disember 2022 oleh pihak kontraktor.

Tambah Ukas, kedua-dua projek pembangunan di SK Nanga Kesit dan SK Batang Ai menghadapi kelewatan akibat faktor-faktor.

Antaranya ialah masalah kekurangan pekerja mahir serta kekangan membawa bahan binaan ke lokasi di mana jambatan besi sementara terpaksa dibina untuk menyeberangi Sungai Lemanak. — DayakDaily