Kastam Sarawak rampas rokok dan minuman keras belum lulus cukai sebanyak RM44,980.38

Kelihatan rokok dan minuman keras pelbagai jenis yang dirampas.

Oleh Dean Adam

MIRI, Ogos 7: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak telah melakukan serbuan dan merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama di sebuah rumah di Desa Pujut 2 Bandar Baru Permyjaya, semalam.

Dalam serbuan kira-kira 10.30 pagi itu, pegawai penguatkuasaan JKDM Miri telah menahan seorang lelaki dan merampas sebanyak 24,000 batang rokok dan minuman keras pelbagai jenama sebanyak 1,455.58 liter.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, anggaran nilai rampasan kedua-dua barangan belum lulus cukai Kastam itu adalah sebanyak RM9,529.47 dan jumlah cukai sebanyak RM44,980.38.

Katanya, semasa pemeriksaan dilakukan, pegawai Kastam mendapati rokok dan minuman keras berkenaan disembunyikan di dalam bilik tidur dan ruang tamu rumah.

“Kami (Kastam) kemudian menahan suspek dan menyita barangan belum lulus cukai Kastam itu untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan awal mendapati individu terlibat disyaki menyimpan rokok dan minuman keras haram di rumah berkenaan untuk dijual kepada pelanggannya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Sharifah Halimah menambah, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Katanya, jika didapati bersalah, individu terlibat akan dikenakan denda 10 kali ganda nilai barang ataupun RM100,000 ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah.

“Mereka boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1- 800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran di semua negeri. Pihak JKDM juga memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. —DayakDaily