Putrajaya lulus projek bekalan air bersih terawat di Lubok Antu

Jugah Muyang

LUBOK ANTU, 7 Ogos: Penantian penduduk untuk menikmati bekalan air bersih, setelah sekian lama tiada penyelesaiain, akan berakhir apabila kerajaan persekutuan meluluskan perlaksanaan projek tersebut dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen (MP) Lubok Antu Jugah Muyang telah mempertengahkan masalah ini di perbahasan sidang Dewan Rakyat sesi Mac-April yang lalu.

Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun melalui jawapan pada 8 Julai.


Rina, melalui sesi soal jawab, menyatakan bagi projek bekalan air luar bandar (BALB) kawasan Lubok Antu fasa II telah diluluskan pelaksanaannya di Rancangan Malaysia Ke-11, Second Rolling Plan (RP2), dengan kos siling sebanyak RM117.837 juta.

“Apabila projek ini siap ianya dijangka akan membekalkan air terawat yang beterusan kepada 54 perkampungan dan lima buah sekolah di kawasan Lubok Antu,” kata Jugah dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai projek tersebut, beliau berkata ia akan melibatkan pemasangan paip utama sepanjang 22.5km dan paip agihan sepanjang 140km.

Selain dari itu penambahan kapasiti pembinaan loji rawatan air daripada 7.5 JLH kepada 15 JLH akan dilaksanakan dengan tambahan empat buah tangki takungan air dan tiga buah stesen penggalak.

“Lebih menggembirakan, pengumuman Rina itu menyatakan status projek telah ditender pada Jun 20. Surat Setuju Terima dijangka dapat dikeluarkan pada suku ketiga 2019.”

Tempoh pelaksanaan projek itu mengambil masa 24 bulan dan dijangka siap pada penghujung tahun 2021, kata Jugah.

“Projek ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 1,050 buah rumah atau 20,112 orang iaitu 70 peratus penduduk kawasan Lubok Antu,” tambah beliau.

Jugah melahirkan rasa lega kerana perlaksanaan projek berkenaan dalam masa terdekat akan menyelesaikan masalah yang dihadapi selama ini.

“Dengan adanya sumber air bersih yang berterusan ini, kehidupan penduduk di kawasan parlimen Lubok Antu akan lebih mudah dan selesa serta tidak perlu lagi bimbang terhadap keselamatan dan kesihatan.

“Kita berharap mereka mendapat kehidupan lebih baik dengan menggunakan sumber bekalan air untuk kehidupan harian.

“Kerajaan Pakatan Harapan sentiasa prihatin dengan mengutamakan masalah rakyat dan seterusnya tampil memberikan bantuan untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya. — DayakDaily