Penduduk Kg Kuala Matu Hilir gempar mayat lelaki ditemui tergantung atas pokok

Keadaan di lokasi kejadian di mana mangsa ditemui mati dalam keadaan tergantung atas pokok.

Oleh Dean Adam

DARO, Ogos 6: Penduduk Kampung Kuala Matu Hilir di sini gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan tergantung di atas pokok, lewat petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan untuk mendapatkan khidmat khas menurunkan mayat mangsa dari atas pokok pada pukul 6.25 petang.


Katanya, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan khidmat khas tersebut.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan terdapat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tergantung di atas pokok dengan lehernya terjerut tali.

“Anggaran ketinggian ialah kira-kira 12.1 meter, namun mayat mangsa telah diturunkan oleh penduduk kampung sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya di sini malam ini.

Jurucakap sama menambah, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi khas itu tamat sepenuhnya pada pukul 7.43 petang,” katanya. — DayakDaily