Kastam Bintulu patahkan cubaan seludup rokok bernilai RM1.4 juta

Rokok-rokok yang dirampas.

BINTULU, 24 Mac: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak Bintulu mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok dianggarkan bernilai RM1.4 juta pada 14 Mac lalu.

Memangku Tugas-Tugas Pengarah JKDM Sarawak Mohd Nadzri Ariffin berkata anggotanya dari cawangan Penguatkuasaan JKDM Bintulu telah membuat operasi khas ke atas sebuah kapal asing di pelabuhan Bintulu sekitar jam 7.45 malam.

Katanya, hasil pemeriksaan telah menemui 7,920,000 batang rokok putih dipercayai barang belum lulus Kastam.


“Pemeriksaan rapi ke atas kontena tersebut telah menemui sebanyak 7,920,000 batang rokok putih dengan anggaran nilai RM1,425,600 yang melibatkan anggaran cukai sebanyak RM5,369,760.

“Pemeriksaan awal mendapati kesemua rokok tersebut belum lulus kastam kerana tidak mempunyai setem cukai kastam serta dokumen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, barang kes telah diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

“Modus operandi ialah sindiket menyeludup masuk barangan belum lulus kastam dengan membuat pengikraran palsu melalui Daftar Muatan Pemindahan dari Pelabuhan Ho Chi Minh, Vietnam ke Pelabuhan Bintulu, Sarawak,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967.

Sementara JKDM Sarawak telah merampas sebanyak 30,556,012 batang rokok dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM2,114,512.32 yang melibatkan anggaran cukai sebanyak RM16,824,847.14 sepanjang tahun 2021.

“Sehubungan dengan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut,” katanya. — DayakDaily